Kapten Fedzrol mohon maaf, bersyukur penumpang selamat

Khairy Jamaluddin melawat Kapten Fedzrol yang sedang menerima rawatan di HRPB, Ipoh.
Khairy Jamaluddin melawat Kapten Fedzrol yang sedang menerima rawatan di HRPB, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Juruterbang helikopter jenis Airbus AS 355 F2 yang terhempas ketika membuat pendaratan cemas di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Brinchang, Cameron Highlands pada Rabu bersyukur dirinya bersama lima penumpang terselamat dalam nahas hampir meragut nyawa mereka itu.

Kapten Fedzrol Norazam, 43, turut menyatakan keinginannya memohon maaf kepada Pasukan Doktor Udara (PDU) yang tercedera dalam kejadian itu.

"Perasaan ketika ini, saya ingin minta maaf dengan apa yang terjadi. Walaupun ini ketentuan tuhan tetapi sebahagiannya mungkin daripada kesilapan saya sendiri.

"Yang paling penting saya bersyukur semua penumpang selamat. Apabila tersedar dari pengsan, saya terus bertanyakan keadaan kerana mereka adalah tanggungjawab saya," katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Khamis.

Menceritakan kejadian itu, Fedzrol berkata, laluan helikopter terpaksa dilencongkan untuk melepasi Banjaran Titiwangsa berikutan laluan asal iaitu di Kampung Raja, Cameron Highlands telah hujan.

"Saya pilih ruang paling dekat dan saya dapati di Brinchang kerana belum hujan yang membenarkan helikopter melalui kawasan tersebut.

"Ketika melalui saya mula berasa pelik apabila angin menolak helikopter ke atas hingga sukar untuk dikawal. Saya tidak beritahu penumpang lain kerana bimbang mereka berasa panik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fedzrol
Fedzrol

Menurutnya, helikopter kendaliannya seperti dalam keadaan tergantung di ruang udara kawasan tersebut menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membuat pendaratan cemas.

"Keadaan angin menyebabkan helikopter merapat ke arah bukit pada ketinggian 5,000 kaki. Saya menggunakan 100 peratus kekuatan enjin tetapi helikopter tetap tidak stabil untuk terbang.

"Saya ambil langkah alternatif dengan membuat pendaratan menggunakan teknik 'pitch-up altitude' pastikan hentaman bermula pada ekor agar kabin selamat," katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia telah cuba sehabis baik untuk mendaratkan helikopter.

"Tetapi saya buat tidak cantik disebabkan angin. Sebelum itu saya sempat beritahu pada pembantu perubatan yang berada di kokpit 'kita tidak ada power' sebanyak dua kali, keadaan itu umpama helikopter tidak terbang.

"Apabila buka mata, saya berada di kerusi dengan tangan masih memegang stereng dengan kepala berdarah.

"Saya bertanya kepada Lan keadaan penumpang lain. Saya orang terakhir dibawa keluar. Saya bersyukur semuanya selamat," katanya.

Selain Fedzrol, penumpang lain yang terselamat adalah Dr Munirah Abd Rahman, 53; Zainurol Fazlan Zainudin, 40; Muhamad Azlan Hanifah, 31; Norhasikin Abu Seman, 38, dan Hashilawati Hussi, 43.