Johor perlu MB secepat mungkin

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Johor perlu melantik menteri besar yang baharu secepat mungkin bagi memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ketiadaan menteri besar menyukarkan sebarang keputusan diambil.

"Setakat ini tiada masalah dalam pentadbiran, semua berjalan seperti biasa tapi saya harap ada lantikan secepat mungkin. Kalau tak ada menteri besar mungkin ada sedikit kesulitan.

"Contohnya ada mesyuarat Exco kalau tak ada menteri besar, tak boleh jalan. Malah apa-apa keputusan juga mungkin terpaksa ditangguhkan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu mengesahkan peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan mengumumkan negeri ini tidak memiliki menteri besar buat sementara waktu.

Jimmy yang juga Adun Bukit Batu berkata, individu paling sesuai perlu dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

"Saya terkejut juga dengan keputusan beliau (Osman) sebab tak pernah disebut depan sesiapa. "Dalam keadaan sekarang, menteri besar sudah pun letak jawatan jadi kita perlu lantik menteri besar baharu dalam masa terdekat.

"Perlu ada muafakat dan persefahaman antara PH dengan istana agar orang paling sesuai dilantik untuk menerajui Kerajaan Johor," katanya.

Artikel Berkaitan: