Pelatih tak dibayar elaun, KSM siapkan laporan secepat mungkin

 Sivakumar - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sivakumar - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KLANG – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menyiapkan laporan penuh mengenai dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Menterinya, V Sivakumar berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti dakwaan tersebut sambil memberi jaminan perkara itu akan ditangani secepat mungkin.

“Kita akan cuba secepat mungkin, kita sedang bekerja keras untuk menyiapkan laporan lengkap mengenainya (elaun pelajar praktikal),” katanya pada sidang akhkbar di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau menziarahi dua pekerja yang mengalami keliatan hingga tidak mampu bekerja dan turut menyerahkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hadir sama, Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Jelas Sivakumar, pihaknya juga sedang membuat kajian untuk mewujudkan akta baharu bagi melindungi pekerja dalam industri ekonomi gig yang kini mencecah lebih sejuta orang.

“Sebelum kita sampai ke tahap itu (wujud akta), kita sekurang-kurangya perlu ada satu garis panduan atau satu dasar untuk melindungi pekerja gig ekonomi.

“Kita pun sedang mengkaji tentang gaji progresif,” katanya lagi

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, beliau sedang menunggu laporan berkaitan dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Beliau berkata, laporan mengenai perkara itu pada ketika ini sedang diteliti KSM.