[VIDEO] Guan Eng mahu saman Tajuddin

Guan Eng dan Tajuddin
Guan Eng dan Tajuddin
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi DAP, Lim Guan Eng akan menfailkan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berikutan kenyataannya yang mendakwa pejabat Kementerian Kewangan dijadikan tokong ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kenyataan Tajuddin bukan sahaja berniat jahat dan fitnah malah sengaja menggunakan isu perkauman serta agama sebagai modal politik dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, permainan rasis yang menggunakan isu perkauman dan agama perlu segera dihentikan sebaliknya isu utama yang harus ditekankan kepada rakyat adalah mengenai masalah dan tekanan ekonomi yang sedang dihadapi termasuk kejatuhan nilai mata wang negara.

"Saya terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana apa yang disebut oleh beliau memang satu fitnah.

"Kalau betul pejabat Kementerian Kewangan dahulu telah jadi tokong mesti perkara ini telah dihebah-hebahkan. Semua orang tahu tak ada tokong atau bakar colok di pejabat saya sebelum ini... boleh tanya pegawai-pegawai saya mengenai perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Dalam program Wacana Sinar Harian siri 370 yang membincangkan ‘PRU15: Demi rakyat atau kuasa’ terbitan Sinar Harian minggu lalu, Tajuddin mendakwa Guan Eng meminggirkan pegawai Melayu dan membawa pasukannya sendiri ke dalam kementerian itu.

Selain itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut mendakwa Guan Eng membenarkan pegawainya memakai seluar pendek ketika bertugas selain menggantung tanglung di pejabatnya di Putrajaya.

Menjelaskan perkara itu, Guan Eng berkata, tanglung hanya dipasang sewaktu musim perayaan Tahun Baharu Cina sama seperti menggantung ketupat ketika hari raya Aidilfitri dan kolam pada perayaan Deepavali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Guan Eng berkata, tuntutan saman itu akan dikemukakan peguamnya dalam masa terdekat selain turut mempertimbangkan untuk membuat laporan polis walaupun tidak yakin laporan itu akan disiasat dan kes berkemungkinan akan ditutup.