Guan Eng gembira dua jalan diberi nama pemimpin DAP

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menzahirkan rasa gembira kerana dua jalan di negara ini dinamakan semula dengan nama pemimpin daripada parti berkenaan.

Menerusi ciapan di laman sosial Twitter, Ahli Parlimen Bagan itu mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di atas usaha menamakan sebatang jalan di Negeri Sembilan sempena nama pengasas parti iaitu mendiang Dr Chen Man Hin.

“Tahniah kepada Setiausaha Agung, Anthony Loke dan Teo Kok Seong yang menjayakan usaha ini. Keluarga Dr Chen pastinya berbesar hati.

“Negeri Sembilan di bawah saudara Anthony Loke, menyertai Pulau Pinang dalam menjadi dua negeri yang menamakan jalan sempena pimpinan kita,” tulis Guan Eng.

Pada 15 Februari lalu, media tempatan melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengumumkan dua nama jalan utama di Negeri Sembilan ditukar kepada nama tokoh yang banyak berjasa di negeri itu.

Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad yang juga bekas mufti Negeri Sembilan. Jalan Temiang pula ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin.

Sebelum ini, ketika Guan Eng menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2014, beliau pernah menamakan semula IJM Promenade di Lebuh Sungai Pinang kepada Persiaran Karpal Singh sebagai penghormatan kepada pemimpin DAP itu.