Kelantan United akur tewas kepada Selangor FC

Nik Azli Nik Alias dikejar oleh dua pemain Selangor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Rabu.
Nik Azli Nik Alias dikejar oleh dua pemain Selangor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

PENGENDALI Kelantan United, Nazrulerwan Makmor akur Selangor FC terlalu kuat selepas kalah 0-2 pada aksi timbal balik pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini pada Rabu.

Nazrulerwan bagaimanapun berkata, dia tetap berbangga dengan persembahan diperagakan oleh barisan pemain yang berjaya mengekang asakan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

"Saya bangga aksi pemain, mereka bertindak dengan baik dan memberi 100 peratus, namun kita kena akur, jika gagal jaringkan gol maka inilah akibat yang terpaksa ditanggung," katanya selepas perlawanan.

Menurut beliau, untuk aksi pusingan kedua pada 1 November ini, Kelantan United akan mempertaruhkan barisan terkuat selepas dapat menurunkan kembali pemain yang tersisih seperti Jullius Ofori Ziggy, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Motoyama.

Ujarnya, ketiadaan Ziggy sebelum perlawanan menentang Selangor FC akibat masalah kesihatan memberikan kesan kepada Kelantan United.

Nazrulerwan berkata, segala kelemahan yang ada pada aksi itu sudah dikenal pasti dan barisan kejurulatihan akan membuat perubahan terutama di posisi serangan

Tambah beliau, barisan pemain perlu melupakan kekalahan itu dan kembali fokus kerana perjuangan masih belum selesai.

Pada perlawanan itu, pelawat memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-37 menerusi tandukan tepat Herlison Caion sekali gus menewaskan penjaga gawang Kelantan United, Mohammad Fikri Che Soh untuk membawa Selangor FC di depan.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, Caion yang merupakan penyerang import kelahiran Brazil sekali lagi membuktikan sentuhannya untuk gol kedua pelawat pada minit ke-63.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus bawa pulang bekalan selesa buat Selangor FC menjelang aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 1 November ini.