Wong Tack umum bertanding tiket bebas di Bentong

Wong Tack
Wong Tack
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di kerusi itu selepas digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wong Tack dilaporkan membuat keputusan bertanding secara Bebas atas tuntutan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Menurutnya, kerusi Parlimen Bentong akan dipertahankan atas tiket rakyat selepas namanya tiada dalam senarai calon kerusi itu bagi PRU15.

"Saya tidak termasuk dalam 'strategi besar' DAP bagi PRU kali ini," katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani pada Rabu.

Dalam pada itu, Wong Tack berkata, sebagai anak jati Bentong, beliau tekad untuk mempertahankan kerusi disandangnya sejak PRU14 itu.

"Sejak empat tahun lalu saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya untuk rakyat di Bentong.

"Bentong adalah kampung saya dan saya komited untuk terus berkhidmat untuk rakyat di sini. Kita di sini ingin mewujudkan platform untuk kuasa rakyat, menanam benih harapan bukan hanya untuk Bentong tetapi negara," jelas beliau.

Tambahnya, masyarakat di Bentong boleh memilih pemimpin untuk mewakili kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini DAP telah memutuskan untuk tidak meneruskan persefahaman ini, jadi saya ingin jelaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka.

"Saya juga tidak berminat untuk permainan politik terutama untuk parti politik. Rakyat bukan buah catur," tegas beliau.

Sementara itu Astro Awani turut melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media memaklumkan, parti itu telah berbincang bersama Wong Tack sebelum membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun jelas Anthony, Wong Tack enggan menerima cadangan agar beliau ditempatkan sebagai calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

"Memang ada dicadangkan Wong Tack bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan saudara Chiong Yoke Kong akan memberi laluan walaupun beliau merupakan ADUN Tanah Rata.

"Bagaimanapun beliau (Wong Tack) tidak bersetuju dengan pandangan tersebut... kita sebagai parti perlu buat keputusan dan saudara Chiong calon paling sesuai bertanding di Parlimen Cameron Highlands apabila Wong Tack tidak menerima cadangan tersebut," jelasnya.