Masjid Cina Melaka lokasi saksikan gerhana bulan penuh

Masjid Cina Melaka dipilih sebagai lokasi utama cerapan untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh 8 November ini. - Foto Bernama
Masjid Cina Melaka dipilih sebagai lokasi utama cerapan untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh 8 November ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Penduduk Melaka berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh di negeri itu yang dijangka berlaku pada 8 November ini, kata Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata, fenomena berkenaan dijangka berlaku lebih tiga jam bermula 6.51 petang hingga 9.56 malam dan ia boleh disaksikan menggunakan teleskop dengan Masjid Cina Melaka, dipilih sebagai lokasi utama cerapan.

Beliau berkata, sebagai cara menghayati dan memahami fenomena unik itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka, akan mengadakan Majlis Cerapan Gerhana Bulan Penuh di Masjid Cina Melaka di Krubong di sini pada tarikh tersebut.

"Pelbagai pengisian atau program akan dilaksanakan pada hari berkenaan, seperti solat sunat gerhana bulan dan khutbah berkaitan fenomena itu di semua masjid di negeri itu, termasuk di Masjid Cina Melaka.

"Masjid Cina Melaka pula dipilih sebagai lokasi untuk cerapan bulan gerhana penuh kali ini, berdasarkan lokasinya yang strategik untuk menyaksikan fenomena yang jarang berlaku ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kira-kira 800 hingga 1,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis cerapan berkenaan dan ia turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, pada majlis cerapan itu, orang ramai boleh menyaksikan fenomena itu bermula daripada fasa gerhana bulan separa hingga fasa gerhana bulan penuh, pada ketika bumi akan berada antara bulan dan matahari dalam kedudukan satu garisan.

Abdul Halim berkata, fenomena gerhana bulan penuh itu membuktikan kebesaran dan keagungan ALLAH dalam mengatur perjalanan setiap isi kandung alam semesta.

Artikel Berkaitan:

"Akan berlaku perubahan fenomena alam di langit nanti, yang mana kita akan menyaksikan bulan berwarna kemerah-merahan,” katanya. - Bernama

TAG: Melaka, gerhana bulan penuh, fenomena, mufti, Abdul Halim Tawil