Buku Tommy Thomas, biar pihak berkuasa siasat: Anthony

Anthony
Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan sekiranya bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dipercayai melakukan kesalahan berhubung dakwaan dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness' yang ditulisnya.

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan empat calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di ibu pejabat DAP pada Rabu, Anthony berkata, PH tidak perlu menjawab bagi pihak Tommy yang merupakan bekas Peguam Negara dan bukannya ‘orang PH’.

"Walaupun beliau dilantik ketika kerajaan PH (memerintah) tetapi beliau bukan pemimpin PH dan bukannya ahli mana-mana parti politik dalam PH.

"Saya yakin Tommy akan mempertahankan diri sendiri dan jika ada kes terhadapnya biar polis menjalankan siasatan," katanya ketika ditanya mengenai tindakan PH yang berdiam diri terhadap isu membabitkan Tommy.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, bekas Peguam Negara itu dipercayai melakukan empat kesalahan berdasarkan siasatan terhadap kandungan buku memoir 'My Story: Justice in the Wilderness', antara lain melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyahklasifikasi dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas buku memoir tulisan Tommy.

Sementara itu, penyandang Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kenyataan daripada ceramahnya di Mentakab pada 19 Oktober lepas telah diputar belit.

Tengku Zulpuri berkata, beliau tidak menyebut istana dalam ceramahnya tetapi hanya orang besar dan ia tidak semestinya merujuk kerabat diraja.

Artikel Berkaitan:

Semalam, 20 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pahang terhadap Tengku Zulpuri yang didakwa biadab ketika menyampaikan ceramah politik di Mentakab, Temerloh pada 19 Oktober lepas.

Video berdurasi 1 minit 53 saat yang didakwa dipetik daripada ceramahnya dikatakan menyentuh institusi beraja, orang kenamaan dan rakyat Pahang yang dilabelkan sebagai penyamun dan penyangak. - Bernama