Cadang wujudkan pusat sehenti penyiasatan forensik

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat sehenti bakal diwujudkan dalam urusan berkaitan penyiasatan forensik di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pusat sehenti berkenaan dalam peringkat cadangan bertujuan untuk pengumpulan maklumat berkaitan penyiasatan kes-kes yang terlibat.

"Kementerian Dalam Negeri mencadangkan supaya diwujudkan pusat sehenti bagi melancarkan urusan berkaitan penyiasatan berkaitan forensik.

Kita lihat dengan adanya pusat sehenti ini sekaligus dapat mempercepatkan siasatan kes selain mengumpul maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang kali Ketiga (NASFLE) 2022 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini pada Rabu.

Ujar beliau, pusat sehenti itu bukan sahaja digunakan untuk penguatkuasaan malahan dapat digunakan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya.

"Dengan kaedah yang baik serta pusat sehenti sedia lengkap, sesuatu kes yang disiasat dapat disegerakan," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pegawai penyiasat forensik di negara ini juga perlu diberikan elaun khas memandangkan keadaan kos sara hidup yang tinggi ketika ini sekali gus memberikan kesan terutamanya kepada pegawai muda dan mereka yang berkeluarga.

"Saya mencadangkan agar satu elaun khas diberikan kepada pegawai penyiasat forensik, namun dari segi jumlah, perlu ada beberapa kajian dilakukan bagi menentukannya.

"Kita lihat satu-satu siasatan yang dijalankan terhadap kes-kes terlibat mengambil masa yang lama dan kadang-kadang jauh, jadi, kita akan mencadang elaun khusus ini diberikan kepada mereka," ujarnya.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung mampu menarik minat rakyat dalam menjadikan forensik sains ini sebagai bidang kerjaya.

Artikel Berkaitan:


"Pemberian elaun ini sekali gus dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia supaya mengambil bidang forensik sains ini.

"Pada masa sama, kerjasama luar negara dan di peringkat antarabangsa juga dapat dipertingkatkan,” jelas beliau.