Penukaran status kehilangan aktivis sosial perlu dirujuk TPR

Mohamad Fuzi melihat antara peralatan teknologi dalam pameran APAC PoliceTech di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.
Mohamad Fuzi melihat antara peralatan teknologi dalam pameran APAC PoliceTech di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menukar status kes kehilangan membabitkan aktivis sosial Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo akan dirujuk polis kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa bagi menukar status siasatan orang hilang membabitkan dua individu terbabit.

"Perkara ini akan dirujuk dahulu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar siasatan. Siasatan masih diklasifikasi sebagai status orang hilang.

"Namun status siasatan dijalankan PDRM juga mungkin boleh berubah pada masa akan datang jika polis menemui sebarang bukti baru membabitkan unsur jenayah dalam kes itu," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tidak timbul isu polis tidak memberi kerjasama terhadap siasatan kes terbabit.

"PDRM sudah memberikan kerjasama sebaiknya terhadap siasatan yang dijalankan lebih daripada setahun lalu.

"Jadi, apabila ada dakwaan sebegitu terhadap PDRM mengatakan kita tidak memberi kerjasama, ia satu tohmahan," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pembabitan seorang anggota Cawangan Khas Bukit Aman sebelum kedua-dua individu itu dilaporkan hilang, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengesan individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Individu terbabit sudah berhenti daripada pasukan polis dan PDRM sendiri sedang mengesan lokasinya. Ia bukan mudah berikutan individu tidak pernah tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Raymond, 64, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

Sementara itu Mohamad Fuzi berkata, persidangan APAC PoliceTech penting bagi membolehkan PDRM meneliti serta mengenal pasti teknologi akan datang yang boleh digunakan dalam menguatkuasakan undang-undang.

"Ia juga penting bagi mencegah jenayah yang semakin kompleks terutama meliputi aspek jenayah keganasan, jenayah siber, komersial dan jenayah rentas sempadan," katanya.