BN belum ada calon TPM dari Sabah, Sarawak

Ismail Sabri ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@Finas di Studio Merdeka Finas pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@Finas di Studio Merdeka Finas pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

HULU KELANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan parti itu masih belum mempunyai calon untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, perkara itu hanya akan dibincangkan jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak tahu lagi, biar kita menang pilihan raya dahulu. Kalaulah perkara ini di dalam manifesto kita, tentu sahaja kita akan pastikan ia dilaksanakan.

“Bagaimanapun, tunggu lepas kita menang dahulu. Selepas itu kita bincang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program Ekspresi @ Finas di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Isnin.

Jelas Ismail Sabri, sekiranya cadangan mengenai jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri itu diteruskan, BN akan mendapatkan nama berkenaan daripada wakil Sabah dan Sarawak.

“Kalau wakil Sabah, Sabahlah yang akan beri nama. Kalau Sarawak, kerajaan Sarawak yang akan berikan nama kepada kita. Jadi kita akan bincang.

“Tapi tunggu dahulu. Biar kena undi kita dahulu. Kalau kita menang nanti kita akan laksanakan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan dibuat Pas bahawa tidak perlu jawatan Timbalan Perdana Menteri sehingga tiga orang, Ismail Sabri berkata, ia hanya pandangan parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pandangan yang tersendiri.

“Itu pandangan daripada Pas, biarlah Pas dengan pandangan dia. Kita dengan pandangan kita,” katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, gabungan itu mengesyorkan agar tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.

Ahmad Zahid berkata, jawatan kedua tertinggi kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jika BN mendominasi kemenangan pada PRU15.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan itu dilihat sebagai janji 'mi segera' kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya.