[VIDEO] Syor jawatan TPM dalam manifesto BN Sabah: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas hadir Gelombang Biru BN Zon 3 di Kimanis pada Ahad.
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas hadir Gelombang Biru BN Zon 3 di Kimanis pada Ahad.
A
A
A

PAPAR - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dari Sabah dan Sarawak diletakkan dalam manifesto BN Sabah.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan agar manifesto BN Sabah dapat mencadangkan kepada Perdana Menteri jika parti itu dominan membentuk kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ada seorang jawatan TPM yang datang dari Sabah, begitu juga untuk Sarawak, mungkin mereka juga akan meminta jawatan TPM dari Sarawak dan seorang lagi dari Semenanjung.

"Ini merupakan pendekatan baharu yang dicadangkan BN agar BN Sabah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Semenanjung dapat memasukkan di dalam manifesto," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir Gelombang Biru BN Zon 3 di Kimanis pada Ahad.

Beliau juga yakin bahawa cadangannya itu akan diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana jawatan berkenaan tidak ada dalam kerajaan yang dipimpinnya dan ia tidak salah dalam Perlembagaan.

"Saya yakin Perdana Menteri akan menerima cadangan ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan, itu sebabnya sekarang tidak ada jawatan berkenaan.

"Yang ada hanya empat jawatan menteri kanan, jadi tidak mustahil jika tiga jawatan TPM sekiranya BN menang dengan dominan, maka jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, " katanya.

Ditanya adakah cadangan itu selaras dengan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, Ahmad Zahid berkata, itu adalah semangatnya namun sekali lagi menegaskan bahawa dengan bersyarat BN harus menang dengan dominan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, dalam ucapan beliau turut memberikan contoh bahawa negara jiran juga mempunyai ramai TPM.

"Negara jiran ada enam jawatan TPM, tengoklah muka pemimpin-pemimpin Sabah siapa jadi TPM akan datang.

"Kalau mahu, pastikan BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dengan dominan, mengapa jawatan TPM perlu datang dari Sabah.

"Sebab TPM akan perjuangkan nasib rakyat Sabah dengan mohon peruntukan daripada Persekutuan untuk diturunkan ke Sabah," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika ditanya pemberita mengenai cadangan itu, beliau menegaskan bahawa manifesto harus dilaksanakan.

"BN tidak pernah berbohong dari segi manifesto, jadi oleh kerana ini merupakan manifesto BN, maka wajib kita akan laksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto. TPM bagi kepada Sabah dan juga Sarawak," katanya.