Tun M, Anwar watak lama dalam politik

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

PADANG TERAP - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dua watak lama dalam arena politik tanah air.

Mahdzir berkata, sudah tiba masa untuk rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan terlalu kerap muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini tidak sewajarnya berkisar mengenai percaturan politik kedua-dua individu terbabit.

"Ia sepatutnya membawa agenda lebih besar melibatkan pembinaan negara bukannya mainan politik mereka berdua.

"Saya tak fikir naratif politik menghadapi PRU kedua-dua mereka itu berkisar mengenai rakyat, persetujuan mereka untuk bertemu dan berbincang ini hanyalah atas dasar politik semata-mata," katanya ketika sidang akhbar selepas Program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara daerah Padang Terap pada Isnin.

Menurutnya, untuk mencapai kemenangan, pelbagai strategi serta perkara teknikal akan dibuat termasuk berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan menang pilihan raya.

"Ini soal aku nak bunuh engkau dan engkau nak bunuh aku, itu sahaja dan tak ada cerita lain pun termasuk membela nasib rakyat," ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk menilai jalan cerita dibentangkan Tun Dr Mahathir dan Anwar sejak puluhan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini sekejap cium mulut sekejap tidak, tetapi tengoklah apa yang diberikan kepada rakyat dalam tempoh 22 bulan sewaktu kedua-duanya dalam PH.

"Malah ketika itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pun ada bersama mereka tubuhkan kerajaan.

"Akhirnya mereka berpisah, buat hal masing-masing kerana impian mereka bukan nak bela rakyat," jelas beliau.

Jumaat lalu, Tun Dr. Mahathir menerusi satu klip video di laman sosial medianya menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama PRU15.

Beliau percaya dirinya dan Anwar memiliki matlamat yang sama dan tidak kisah untuk melakukan langkah pertama bagi bertemu dengan Anwar.