110 kg pukat hantu dikutip sekitar terumbu karang

Antara pukat hantu yang berjaya dikumpul di sekitar kawasan terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian
Antara pukat hantu yang berjaya dikumpul di sekitar kawasan terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian
A
A
A

BESUT - Sebanyak 110 kilogram (kg) pukat hantu dikutip oleh sekumpulan penyelam di sekitar kawasan terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian sepanjang tiga hari bermula Sabtu lalu.

Pembantu Perikanan Cawangan Taman Laut Pengurusan dan Perlindungan Sumber Daerah Besut, Nazrul Azlinshah Ahmad Nazmi berkata, aktiviti mengutip pukat atau jaring nelayan yang ditemui di dasar laut itu disertai 20 penyelam.

"Program Ghost Nett ini diadakan untuk memelihara kawasan terumbu karang yang rosak akibat pukat hantu yang menjadi ancaman kepada haiwan marin di dasar laut.

"Usaha ini sebagai tanda keprihatinan penyelam untuk menyokong langkah Cawangan Taman Laut Pengurusan dan Perlindungan Sumber Daerah Besut melindungi kawasan terumbu karang terutamanya di lokasi perlindungan marin supaya ia tidak mengalami kepupusan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Menurut Nazrul Azlinshah, kesemua pukat hantu yang dikutip akan dilupuskan di tapak pelupusan sampah.

"Antara pukat hantu yang dikutip terdiri daripada jaring dan tali lama yang digunakan untuk menangkap ikan.

"Peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring atau jala yang ditinggalkan atau tertinggal secara tidak sengaja itu menjadi ancaman haiwan marin kerana ia memerangkap ikan atau habitat karang dan akhirnya memusnahkan habitat dan hidupan laut," katanya.

Nazrul Azlinshah memberitahu, Program Ghost Nett diharap akan diteruskan pada masa akan datang bagi memelihara sekali gus memastikan hidupan laut tidak terancam.

Artikel Berkaitan:

"Program dijalankan ini adalah hasil 77 pelbagai pihak bagi memulihara sumber perikanan dan melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu," katanya.