Seorang maut insiden bot bertembung di Pulau Perhentian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JERTIH - Seorang kru bot nelayan maut manakala dua penumpang cedera parah dalam insiden dua bot bertembung di perairan Pulau Perhentian dekat sini kira-kira jam 8.15 pagi Sabtu

Mangsa, Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, nahas itu membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru serta 10 penumpang dan sebuah bot pelancong yang dinaiki dua kru serta 10 penumpang.

"Kemalangan dikatakan berlaku ketika bot pelancong dari Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil (yang dalam perjalanan) ke jeti sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Besar melanggar bot nelayan yang menjalankan aktiviti sewaan mencandat sotong (yang dalam perjalanan) ke jeti kampung Pulau Perhentian.

"Akibat pelanggaran tersebut, bot nelayan bocor dan tenggelam manakala seorang kru meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya, dua penumpang cedera parah dan seorang cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Azrol berkata, bot pelancong jenis gentian kaca hanya mengalami kerosakan kecil manakala semua kru serta penumpang termasuk tiga warga asing dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian oleh bot orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan bot ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

"Kejadian ini telah dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Polis menasihati semua pengusaha dan pemandu bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa berada di perairan seperti memastikan bot dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan lain yang ditetapkan termasuk memastikan semua kru dan penumpang memakai jaket keselamatan," katanya. - Bernama