'Ayuh ramai-ramai turun ke stadium untuk Hashim Mustapha'

Badhri ketika mengunjungi Hashim baru-baru ini. - Foto Badhri
Badhri ketika mengunjungi Hashim baru-baru ini. - Foto Badhri
A
A
A

"SAYA berharap para penyokong setia pasukan Kelantan dapat ramai-ramai turun ke Stadium Sultan Muhamad IV, menyaksikan perlawanan sambil menyumbang untuk legenda bola sepak Kelantan era 90-an, Hashim Mustapha."

Itu seruan bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya kepada para penyokong The Red Warriors (TRW) menjelang perlawanan amal antara Ex-Player Kelantan menentang Ex Player Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Isnin.

"Hashim Mustapha banyak berjasa dan menyumbang tenaga dalam membangunkan bola sepak

terutama membentuk para pemain muda Kelantan.

"Beliau juga mengharumkan arena bola sepak Kelantan apabila menjadi pemain Kelantan pertama merangkul Anugerah Kasut Emas.

"Saya menjemput para penyokong Kelantan hadir pada malam ini untuk sama-sama membantu meringankan beban legenda bola sepak negara itu," katanya kepada Sukan Sinar.

Perlawanan amal itu bagi mengutip dana untuk membantu Hashim, 56 tahun yang baru menjalani pembedahan pemotongan kaki akibat penyakit kencing manis pada 13 Oktober lalu.

Untuk rekod, Hashim merupakan bekas pemain Kelantan yang pernah tiga kali menerima anugerah Kasut Emas pada 1990, 1993 dan 1994.

Hashim juga pernah menjadi penolong jurulatih The Red Warriors, jurulatih skuad Presiden dan ketua jurulatih Tok Janggut Warriors FC.

Perlawanan amal ini merupakan anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dijadualkan bermula jam 8.30 malam.

Selain Mohd Badhri, beberapa, bekas pemain Kelantan seperti Ausrei Husin, Zamri Mohd Nor Wan Ezila Daud, Zulkifki Husin, Zulkifli Abdullah, Tuan Rosli Shaari Azman Ismail dan Nik Fadhli Nik Leh dijangka mengambil bahagian.

Sementara itu, bekas pemain Terengganu yang akan menyertai perlawanan ini ialah Zubir Ibrahim, Sidek Wahab, Anuar Jusoh, Hasnan Ahmad, Badruhisyam Abdullah, Kamaruddin Mustafa, Rosdi Talib, Zulharisyam Awang dan Sabri Sulung.