Calon bersaing di kerusi ‘pengkhianat’ mula diumumkan

Gambar dari kiri: Anwar, Khalid, Zuraida
Gambar dari kiri: Anwar, Khalid, Zuraida
A
A
A

SELEPAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Khamis lalu, parti politik di dalam negara mula mengorak langkah dalam mencatur strategi masing-masing.

Selain mula mengemukakan tawaran kepada rakyat, antara yang menjadi tumpuan pastinya penamaan calon-calon yang bakal bersaing untuk merebut 222 kerusi yang bakal dipertandingkan.

Antara menarik perhatian tentunya persaingan di kerusi-kerusi disandang ahli Parlimen yang bertindak lompat parti pada tahun 2020 sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibina selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Untuk rekod, peristiwa kejatuhan kerajaan PH berpunca daripada gerakan dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' membabitkan 26 ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 wakil rakyat yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehubungan itu, kerusi-kerusi berkenaan dilihat mendapat tumpuan utama terutama daripada PH apabila gabungan itu sudah mengumumkan calon di berapa kerusi disandang oleh wakil rakyat yang sering disifatkan sebagai kumpulan pengkhianat.

Paling awal mengisytiharkan pencalonan ialah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Tambun yang mana penyandangnya ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

Dalam pada itu, Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad mencalonkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad di Parlimen Titiwangsa yang mana penyandangangnya adalah Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU lalu, PH berjaya merampas kerusi itu daripada UMNO selepas Rina yang mewakili Bersatu menewaskan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Mohamad Noor Mohd (Pas) dengan majoriti 4,139 undi.

Sementara itu, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin pada Ahad mengumumkan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya iaitu Parlimen Ampang pada PRU15.

Zuraida yang sudah memegang kerusi tersebut selama tiga penggal sejak 2008 berkata, beliau bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana pihak yang cuba untuk bersaing di kawasan tersebut.

Baru-baru ini, wujud khabar angin mengatakan bahawa PKR bakal meletakkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar bagi mencabar Zuraida di Ampang.

Bagaimanapun Anwar yang juga Presiden PKR memberi bayangan bahawa Nurul Izzah berkemungkinan besar akan kekal untuk mempertahankan kedudukannya di Parlimen Permatang Pauh.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi.

SPR menetapkan hari penamaan calon PRU15 akan berlangsung pada 5 November ini manakala hari mengundi awal dan mengundi masing-masing pada 15 November dan 19 November 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!