Zuraida sedia pertahankan Parlimen Ampang

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin bersedia untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya iaitu Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan Astro Awani, Zuraida berkata, sesiapa sahaja dialu-alukan untuk bersaing di kawasan itu yang telah beliau wakili sejak 2008, iaitu kali pertama kawasan Parlimen itu diwujudkan.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut berkongsi keyakinannya untuk memenangi kerusi tersebut walaupun akan bertanding bersama parti baharu.

“Saya punya sikap adalah, this is a democratic country, anybody can come to Ampang and contest (ini negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding di Ampang). They are most welcomed, anda (media) pun dialu-alukan untuk bertanding di Ampang.

“Insya-ALLAH saya akan pertahankan kerusi Parlimen Ampang,” katanya pada Ahad.

Timbul desas-desas baru-baru ini bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal meletakkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar bagi mencabar Zuraida di Ampang dengan kerusi Permatang Pauh berkemungkinan besar bakal dipertahankan Ketua Wanita parti itu, Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan berkemungkinan besar anaknya itu akan kekal di Permatang Pauh.

Pada PRU14 lalu, Zuraida yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Artikel Berkaitan:

Namun Zuraida bertindak keluar parti pada 2020 untuk bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menubuhkan kerajaan baharu menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada awal bulan ini, beliau diangkat menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia.

Dalam pada itu, Zuraida memaklumkan permohonan parti itu untuk bersama-sama dengan BN hanya akan diketahui ketika hari penamaan calon pada 5 November nanti.

“Mengenai kerjasama dengan BN, kita tunggu waktu hari penamaan calon. Kalau Friends of BN kita kena friend-friend now lah, cannot friend later. Friend later dah jadi cerita lain dah. Jadi kena berkawan dari sekarang,” ujarnya.