Peluang BN rampas kerusi Parlimen Johor Bahru cerah

Mohd Hairi melakukan simbolik perasmian Sukan Bangsa Johor di Veldrome Johor, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Mohd Hairi melakukan simbolik perasmian Sukan Bangsa Johor di Veldrome Johor, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Gelombang anak muda memilih BN yang tercetus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor diramal akan berterusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, 'angin' perubahan golongan muda itu juga didakwa berlaku selepas mereka hilang kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu menabur janji tanpa melakukan sebarang pembangunan sepanjang 22 tahun memerintah.

"PRN Johor lalu, anak muda sudah mula cakna dengan pembangunan yang dibuat BN. Janji-janji yang dibuat PH sebelum ini mahu pun apa yang mereka janjikan ketika PRU15 ini, saya anggap anak muda tidak akan terikut lagi.

"Ini kerana mereka sudah celik dan saksikan sendiri apa yang telah berlaku ketika 22 bulan PH memerintah, bagaimana rosaknya negeri dan rosaknya negara selain banyak agenda pembangunan tergendala," katanya.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Bangsa Johor di Velodrome Johor, di sini pada Sabtu.

Mohd Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, perkembangan itu menunjukkan peluang untuk BN merampas semula kerusi Parlimen Johor Bahru daripada PH adalah cerah.

Selain itu katanya, peningkatan jumlah pengundi ekoran Undi18 dan pendaftaran automatik akan menyaksikan pertambahan pengundi muda melebihi pengundi dewasa, sekali gus menyaksikan pertambahan dalam saluran pengundi muda pada PRU15.

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, peningkatan itu merupakan petanda baik untuk BN lebih-lebih lagi kini golongan muda sudah beralih sokongan kepada BN.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pada PRU14, kerusi Parlimen Johor Bahru dimenangi calon PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mendapat majoriti 19,782 undi menewaskan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN).

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Johor sedia menjadi tuan rumah kepada lebih banyak penganjuran sukan bertaraf antarabangsa pada tahun depan yang akan merancakkan sektor ekonomi serta pelancongan di negeri itu.

Menurutnya, ini kerana Johor dilengkapi dengan fasiliti sukan bertaraf antarabangsa yang sesuai menganjurkan kejohanan bertaraf global dan menarik penglibatan ramai peserta asing.