Penduduk bimbang banjir kilat berulang

Mangsa banjir kilat, Khairul Anuar Abd Ades, 42 dari Kampung Pokka menunjukkan air sungai Padang Terap yang melimpah keluar memasuki kawasan kediaman penduduk pada pagi Sabtu.
Mangsa banjir kilat, Khairul Anuar Abd Ades, 42 dari Kampung Pokka menunjukkan air sungai Padang Terap yang melimpah keluar memasuki kawasan kediaman penduduk pada pagi Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Mangsa banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang di sini bimbang kejadian tersebut bakal berulang selepas melihat ramalan cuaca yang tidak menentu.

Paras air Sungai Padang Terap yang semakin naik turut menambah kebimbangan mangsa banjir termasuk penduduk di Kampung Banggol Sembilang, Kampung Pokka dan Kampung Tanjung.

Seorang mangsa, Kawin Ali, 64, berkata, banjir kilat pada malam Jumaat berlaku dengan cepat, dia sekeluarga hanya sempat mengangkat barang-barang yang ringan ke tempat tinggi di dalam rumahnya.

Kawin membersihkan kediamannya yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap pada Sabtu
Kawin membersihkan kediamannya yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap pada Sabtu

"Kami masih risau banjir kilat akan berlaku lagi sebab tengok ramalan cuaca yang tidak menentu. Barang-barang yang ada di tempat tinggi memang dibiarkan di situ dahulu.

"Banjir kilat semalam (Jumaat) cepat sangat naik, memang saya tidak sempat nak buat apa-apa. Kami sedar pun sebab dimaklumkan oleh jiran," katanya semasa ditemui pemberita di Kampung Baru Padang Sanai pada Sabtu.

Kawin bersama suami dan tiga cucu antara 28 mangsa banjir kilat yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Baru Padang Sanai selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter pada malam Jumaat.

Bagaimanapun, mangsa dibenarkan pulang pada pagi Sabtu selepas banjir surut untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi mangsa, Rosnah Yahya, 49, dari Kampung Pokka berkata, sungai yang terletak kira-kira 50 meter di belakang rumahnya antara yang cepat dinaiki air.

Menurutnya, rumahnya dimasuki air dengan cepat dan hanya sempat menyelamatkan beberapa barang.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jasnizam Husni berkata, sebanyak 25 rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat di beberapa kampung di Parlimen Padang Terap.

Jasnizam (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap pada Sabtu.
Jasnizam (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap pada Sabtu.

Jelasnya, skuad pemantau telah ditubuhkan untuk melakukan pemantauan di kawasan sungai dan rumah penduduk yang berisiko dinaiki air di daerah itu.

"Walaupun hanya banjir kilat dan 'air lalu' namun ada sebahagian besar penduduk terpaksa berpindah ke PPS untuk keselamatan mereka.

"Hari ini (Sabtu) kami menyampaikan sumbangan bagi pihak Datuk Seri Mahdzir Khalid berupa barangan makanan serta wang tunai untuk penduduk yang terjejas," ujar Jasnizam.