Durian Paduka sudah luruh

Ab Wahab (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Perasmian Musim Buah Durian IGROW dan Penutup Kursus Kendalian Dron Anjuran IGROW di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (IGROW), Kampung Gajah, di sini pada Jumaat.
Ab Wahab (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Perasmian Musim Buah Durian IGROW dan Penutup Kursus Kendalian Dron Anjuran IGROW di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (IGROW), Kampung Gajah, di sini pada Jumaat.
A
A
A

PASIR SALAK - Musim durian di daerah Perak Tengah sudah pun bermula termasuklah varieti popular iaitu Durian Paduka yang dinanti-nantikan turut luruh.

Orang Besar Jajahan Perak Tengah, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan berkata, usaha mengembalikan kegemilangan durian Perak Tengah yang pernah dianggap sebagai daerah buah durian terbaik di Malaysia suatu masa dulu tepat pada masanya.

Menurutnya, ketika ini difahamkan bilangan pengusaha yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian di daerah ini seramai 2,239 orang dengan jumlah pokok durian sebanyak 167,600 batang ditanam di kawasan seluas kira-kira 2,095 hektar.

"Pada tahun 2021, jumlah pengeluaran semusim bagi durian di daerah Perak Tengah ini sebanyak 4,297 metrik tan namun pada tahun 2022 iaitu musim baru-baru ini, hanyalah 400 tan disebabkan berbuah ketika di luar musim.

"Buah durian perlu dilihat sebagai buah yang bernilai komersial dari aspek pengeluaran, pemprosesan makanan hinggalah kepada pelancongan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Musim Buah Durian IGROW dan Penutup Kursus Kendalian Dron Anjuran IGROW di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (IGROW), Kampung Gajah, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Misbahul Munir Masduki.

Ab Wahab berkata, Mukim Pulau Tiga, di sini sinonim dengan buah Durian Paduka yang menjadi juara Pesta Durian Negeri Perak pada tahun 1984 dan telah didaftarkan sebagai D148 dengan Jabatan Pertanian.

Menurutnya, dengan usaha IGROW mengekalkan legasi berkenaan Durian Paduka terus diburu oleh peminat durian dari rakyat biasa hinggalah golongan istana dan penggemar durian dari serata dunia.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengharapkan agensi berkaitan memberikan perhatian serius kepada usaha mengembalikan kegemilangan durian di Perak Tengah untuk menjadi daerah durian terbaik dunia suatu masa nanti.

Sementara itu, Ab Wahab menyambut baik usaha IGROW dalam melibatkan golongan muda terhadap pembangunan sekuriti makanan dalam meningkatkan pengeluaran dan produktiviti makanan negara.

Jelasnya, usaha itu bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang amat prihatin dengan krisis sekuriti makanan kerana dianggap semakin bahaya.