Penolong pegawai perubatan rentung, kereta terbakar

Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang ditemui rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Mex di sini pada Sabtu.
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang ditemui rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Mex di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang Penolong Pegawai Perubatan rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 10.8 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, petugas Kaunter Aduan Trafik Kuala Lumpur telah menerima maklumat berkaitan satu kemalangan itu pada jam 6.50 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mangsa bersama empat individu lain meneruskan perjalanan setelah berhenti di lorong kecemasan.

"Sebuah kereta jenis Proton Saga telah melanggar kereta yang dipandu mangsa dari arah belakang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Zam Halim berkata, akibat pelanggaran tersebut, kereta Perodua Bezza telah terbabas lalu merempuh pembahagi jalan dan kemudian terbakar.

"Keempat-empat penumpang berjaya menyelamatkan diri, manakala pemandunya tersepit di tempat duduk.

"Mangsa, Wong Zhen Ying, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau balai polis yang berdekatan," katanya.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairuddin Abdurrahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 pagi.

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan kebakaran membabitkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Mex di sini pada Sabtu.
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan kebakaran membabitkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Mex di sini pada Sabtu.



Menurutnya, seramai 17 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dan Pudu bergegas ke lokasi kejadian

"Setibanya pasukan di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua buah kereta.

"Sebuah lagi kereta telah musnah terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa yang merupakan wanita ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

"Empat lagi penumpang lain terdiri daripada seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala dan tiga lagi wanita dilaporkan selamat," katanya.

Sementara itu menerusi satu hantaran dalam laman Facebook Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Malaysia, mengesahkan mangsa bertugas sebagai penolong pegawai perubatan Hospital Putrajaya (HPJ).

“PPP Malaysia mendapat perkhabaran mendukacitakan berkenaan insiden kemalangan di Lebuhraya MEX, melibatkan PPP Wong Zhen Ying dari DRC HPJ.

“Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah mendiang dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk urusan selanjutnya,” katanya.