KPDNHEP Selangor terima 93 aduan bekalan ayam, telur

Zuhairy ketika membuat pemeriksaan harga barang di pasar raya Lotus, Petaling Jaya pada Junaat.
Zuhairy ketika membuat pemeriksaan harga barang di pasar raya Lotus, Petaling Jaya pada Junaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 5,999 premis telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bagi memastikan bekalan telur dan ayam sentiasa mencukupi.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, KPDNHEP Selangor telah menerima 93 aduan dan membuka 180 kertas siasatan berhubung pencatutan harga ayam dan telur sejak 5 Februari sehingga Khamis.

"Berdasarkan aduan diterima, pegawai penguat kuasa akan segera ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan sekali gus mengekang masalah berlarutan selain memastikan bekalan mencukupi.

"Kedua-dua barangan itu masih dalam pewartaan barangan harga terkawal yang berkuat kuasa sejak 12 Oktober lalu.

"Setakat ini, pemantauan mendapati bekalan ayam dan telur ayam di Selangor adalah stabil. Jadi orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keberadaan bekalan itu di pasaran dan tidak membuat pembelian panik terutama pada musim perayaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat tinjauan barang di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasar raya Lotus, Paradigm Mall, Kelana Jaya di sini pada Jumaat.

Mohd Zuhairi berkata, seramai 260 pegawai penguat kuasa dan 67 pegawai akan menjalankan pemantauan sepanjang SHMMP Deepavali yang bermula pada Khamis sehingga 26 Oktober ini.

Katanya, penekanan diberikan kepada pematuhan peniaga runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga khas merah jambu bagi lapan jenis barangan harga terkawal di bawah SHMMP Deepavali.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan hari ini mendapati premis diperiksa mematuhi skim dan memberi kerjasama yang baik.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi pelaksanaan skim mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Barangan tersebut merangkumi daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal.