Pengeluaran ayam, telur di Perak melebihi keperluan

Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan tambahan ketika sesi soalan lisan sempena Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.FOTO: Urusetia Dewan Negeri Perak.
Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan tambahan ketika sesi soalan lisan sempena Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.FOTO: Urusetia Dewan Negeri Perak.
A
A
A

IPOH - Pengeluaran daging ayam, itik dan telur ayam di Perak stabil malah tahap pengeluaran bagi komoditi tersebut melebihi kadar sara diri negeri bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bagi tahun 2022, pengeluaran daging ayam dan itik di negeri ini berjumlah 372,825 tan metrik.

Menurutnya, pengeluaran telur pula berjumlah 2.083 bilion biji dan jumlah itu dapat menampung keperluan rakyat di negeri perak.

"Bagi menjamin pengeluaran komoditi daging dan telur, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan aktiviti kawalan penyakit ternakan melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan bagi memastikan rebakan wabak penyakit sentiasa terkawal.

"Selain dari itu penguatkuasaan undang-undang juga dijalankan secara berterusan bagi memastikan industri penternakan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan dari M Thulsi Thivan (PH-Buntong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, bagi meningkatkan keterjaminan sekuriti makanan, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian negeri memberi tumpuan kepada memperkasakan amalan pertanian baik dan penanaman secara moden.

Katanya, Jabatan Pertanian negeri Perak telah mengaplikasikan tiga teknologi pertanian moden di peringkat lapangan iaitu penggunaan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan Inovasi Veggie Factory atau kilang sayur.

Beliau berkata, dengan teknologi yang diperkenalkan itu kerajaan negeri berharap ia membantu meningkatkan hasil produktiviti tanaman di dalam kawasan yang terhad khususnya tanaman sayuran dengan hasil yang berkualiti tinggi serta bebas daripada bahan racun makhluk perosak.