ACE, EPL sokong tindakan terhadap penjual android box

Keratan berita KPDNHEP beri amaran kepada peniaga android box.
Keratan berita KPDNHEP beri amaran kepada peniaga android box.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah gabungan anti-cetak rompak yang terkemuka Alliance for Creativity and Entertainment (ACE) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) menyokong tindakan kerajaan mengambil tindakan terhadap premis yang menjual alat peranti teknologi penstriman (android box) yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara fizikal atau digital.

Ketua ACE, Jan van Voorn menerusi kenyataannya pada Khamis memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan di negara ini untuk mengenal pasti serta membendung pengelola perkhidmatan cetak rompak.

Menurutnya, langkah tersebut melindungi golongan pencipta dan para pengedar di dalam dan luar Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada KPDNHEP kerana mengambil tindakan segera untuk menghentikan operasi haram ini," katanya.

Sementara itu, Penasihat Am EPL, Kevin Plumb berkata, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 meletakkan Malaysia di tangga teratas dalam perlindungan hak cipta.

"Ini sekali gus memberi mesej yang jelas kepada mana-mana pihak terlibat bahawa pemberian atau penyediaan penstriman haram adalah satu tindakan jenayah," katanya.

Beliau berkata, EPL terus komited dalam memerangi cetak rompak di Malaysia dan akan terus mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyediakan akses secara tidak sah kepada kandungan pihaknya.

"Kami ingin memastikan penonton perlawanan EPL menontonnya dengan kualiti terbaik melalui saluran yang paling selamat dan akses sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

ACE dan EPL adalah antara pertubuhan pertama yang mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

Akta Hak Cipta yang baru dipinda ini memperkuatkan perundangan yang berkaitan dengan pelanggaran hak cipta dan memperkasakan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menjual peranti penstriman haram serta pengelola laman sesawang haram.

Sabtu lalu, KPDNHEP merampas 600 unit android box pelbagai jenama berserta dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta dengan nilai RM404,500.

Rampasan itu dibuat menerusi serbuan di sebuah premis di Skudai, Johor.