Tempoh reman pemandu lori tamat, polis teruskan siasatan

Polis masih meneruskan siasatan berhubung insiden kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di KM45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini minggu lalu. - Foto Bomba Johor, gambar kecil: Beng Yeow
Polis masih meneruskan siasatan berhubung insiden kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di KM45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini minggu lalu. - Foto Bomba Johor, gambar kecil: Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Polis masih meneruskan siasatan berhubung insiden kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di KM45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini minggu lalu walaupun tempoh tahanan reman pemandu lori yang disyaki menjadi punca kemalangan berkenaan berakhir pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, sepanjang tempoh direman, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada pemandu lori berusia 37 tahun dari Shah Alam itu.

“Reman pemandu lori itu telah selesai semalam (Khamis)...namun, tiada sebarang pengakuan yang dapat direkodkan daripadanya.

“Bagaimanapun, siasatan kita masih berjalan sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Untuk rekod, pemandu lori berkenaan ditahan Ahad lalu, bagi membantu siasatan terhadap kemalangan ngeri di KM45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan 15 Oktober lalu yang membabitkan lima kenderaan, dua lori dan tiga kereta.

Insiden kemalangan berkenaan juga menyaksikan dua individu rentung setelah kenderaan yang dinaiki masing-masing terbakar.

Salah seorang individu berkenaan, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28 telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, Ahad lalu manakala seorang lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.

Sebuah keluarga dari luar Johor telah hadir ke Hosptial Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim minggu lalu bagi membuat pengecaman susulan anak mereka juga didakwa hilang pada waktu yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pengecaman gagal dilakukan dan pihak hospital telah mengambil sampel DNA keluarga berkenaan, sebarang keputusan akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

"Keputusan DNA berkenaan masih belum diperolehi dan kali ini pihak forensik kimia dan polis forensik turut terlibat bagi membantu siasatan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut membantu bagi membantu dari segi teknikal, terutamanya bagi mengesan (kelajuan), kenderaan terbabit,” katanya.