Kemalangan tular, pemandu lori cuai punca nahas disaman

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pemandu lori yang cuai mengubah laluan hingga terlanggar kereta di hadapannya.
Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pemandu lori yang cuai mengubah laluan hingga terlanggar kereta di hadapannya.
A
A
A

KUANTAN - Polis telah mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang didapati cuai memandu hingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan - Gambang dekat Kampung Sri Fajar di sini Rabu lalu.

Kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3.05 petang itu sempat dirakam dan video kejadian ditularkan di sebuah akaun Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat kedua-dua pemandu terlibat pada hari yang sama.

"Siasatan telah dijalankan mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan pemandu lori cuai ketika mengubah lorong hingga melanggar kereta di hadapannya.

"Dalam kejadian itu, pemandu kereta dan lori selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan telah selesai dan saman dikeluarkan di bawah Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 terhadap pemandu lori terlibat.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu bagi mengelak berlaku kemalangan.

"Mana-mana pihak yang didapati memandu secara cuai sehingga bahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!