‘Allahuakbar! Saya tak tinggalkan awak, yang…’

Anggota bomba memadam kebakaran dalam kemalangan maut di KM45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Sabtu.
Anggota bomba memadam kebakaran dalam kemalangan maut di KM45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] "ALLAH, Allahuakbar. Yang (sayang), saya tak tinggal awak yang...ALLAH. Sumpah, saya tak tinggal awak yang, ALLAH... Itu bini saya bang... ALLAH ALLAH ALLAH."

Itu jeritan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan ngeri di kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, yang meraung sambil memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang terbakar pada Sabtu.

Berdasarkan video menyayat hati berdurasi satu minit 37 saat itu yang tular di Facebook, lelaki itu memaklumkan isterinya di dalam kereta yang terbakar itu.

Lelaki terbabit bagaimanapun ditenangkan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan itu menyebabkan dua rentung.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan kereta Proton Wira, Proton Preve dan Toyota Vios serta sebuah lori Isuzu.

Katanya, mangsa yang rentung dalam kereta Proton Wira dikenali sebagai Nurul Nazihah Kamarulul Arifin, 28, manakala identiti seorang lagi mangsa rentung yang menaiki Toyota Vios masih belum diperoleh.

"Seramai 16 anggota bomba dari BBP Renggam dan Kulai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 malam.

Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah lori terbakar 70 peratus manakala Proton Wira dan Vios terbakar 90 peratus akibat kemalangan jalan raya yang turut melibatkan sebuah Proton Preve.

"Terdapat seorang wanita yang berada di bahagian tempat duduk penumpang kereta Proton Wira tersepit dan ditemui rentung, manakala pemandu kereta terbabit berjaya keluar dengan selamat.

"Seorang lagi mangsa ditemui rentung dalam Toyota Vios. Kesemua mangsa di dalam lori dan Proton Preve tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.