Ini misi 'now or never' KL City

KL City bakal berdepan Al Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. (Gambar kecil: Azraai Khor)
KL City bakal berdepan Al Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. (Gambar kecil: Azraai Khor)
A
A
A

WALAUPUN Piala AFC sering dimenangi pasukan Timur Tengah, namun bukan perkara yang mustahil untuk Kuala Lumpur City FC (KL City) dinobatkan juara edisi 2022.

Keyakinan itu disuarakan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang melihat skuad Bojan Hodak berpotensi menamatkan dominasi pasukan dari Timur Tengah sama seperti dilakukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2015.

Menurut Azraai, KL City memiliki kelebihan dari aspek keserasian dalam kalangan pemain yang menjadi faktor penting sejak memulakan penampilan sulung pada kejuaraan kali ini.

“Bagi saya, sudah tentu pasukan dari negara Timur Tengah ini mempunyai rekod baik terutamanya dalam kejohanan seperti Piala AFC. Bagaimanapun, itu bukan bermaksud KL City tidak mampu mencipta kejutan tambahan beraksi di laman sendiri.

Saya lihat KL City juga mempunyai keserasian pemain yang sangat baik. Mereka tidak ubah ramai pemain sepanjang dua atau tiga tahun ini. Jadi, ia adalah satu kelebihan. Ia juga boleh jadi kunci untuk menang Piala AFC.

“Selain itu, KL City mempunyai jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak dan ia sudah dibuktikan banyak kali. Beliau seorang yang mampu membaca permainan dengan baik dan tahu apa yang perlu dilakukan bagi memastikan kejayaan pasukannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

The City Boys yang mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke pentas final Piala AFC buat pertama kali akan berdepan kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pada masa sama, Azraai berharap para pemain skuad warga kota itu dapat mempamerkan aksi terbaik sebagai satu pasukan dalam perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya harap pada aksi terakhir ini para pemain KL City dapat mengikut segala arahan diberikan Bojan Hodak dan dapat menunjukkan aksi yang terbaik bagi memastikan Piala AFC pulang kembali ke bumi Malaysia.

“Ini adalah misi now or never. Peluang ini mungkin tidak datang banyak kali dan ia adalah pentas untuk mereka mencipta sejarah baharu dalam bola sepak negara,” ujar Azraai.