Tahap keselamatan negara terjamin: PM

Ismail Sabri ketika ditemu bual pengamal media pada Pesta Mega Penjaja Peniaga dan Usahawan Kecil #KeluargaMalaysia di Dataran Merdeka pada Khamis. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika ditemu bual pengamal media pada Pesta Mega Penjaja Peniaga dan Usahawan Kecil #KeluargaMalaysia di Dataran Merdeka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap keselamatan negara adalah terjamin dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata, beliau masih menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

"Isu ejen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan pasport lain) saya tunggu laporan.

"Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

Pada 5 Oktober lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 September hingga 4 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO. Pengerusi Perhubungan Negeri dah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya. - Bernama