Ahli Parlimen perlu jalani kursus keselamatan negara

Noor Nirwandy - Foto Sinar Harian / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAHOSKHO
Noor Nirwandy - Foto Sinar Harian / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAHOSKHO
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen, sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang, dicadangkan menjalani satu kursus keselamatan negara untuk memahami serta membina konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, mereka perlu tahu selagi mana ada ancaman yang boleh mengganggu gugat penduduk majoriti ia akan memberi tekanan kepada politik negara.

"Sekiranya kumpulan majoriti di negara ini iaitu masyarakat Melayu dan Islam merasa berlaku ancaman kepada rukun negara dan Perlembagaan Persekutuan maka ia akan membawa kepada ' basic politic'.

"Basic politik ini biasanya berkisar kepada agama, kaum dan bangsa. Jadi, untuk mengelakkan perkara itu berlaku, kita perlu membina satu konsep perpaduan supaya masyarakat yakin perkara tersebut tidak disentuh," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar bertajuk 'Konflik Politik Melayu' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Parlimen HuLu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Nirwandy, terdapat kajian mana-mana parti politik yang gagal menjaga keutamaan majoriti penduduk sesebuah negara akan menghadapi konflik politik yang agak besar.

"Situasi itu berlaku dalam negara kita. Walaupun bercakap tentang tunjang ekonomi dan sebagainya tetapi jika kepentingan ini tidak dijaga, konflik tersebut tidak dapat dielakkan.

"Oleh itu, semua pihak perlu ada pemahaman dan mengikat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini," ujarnya.