Polis kenal pasti kemungkinan wujud pembabitan ejen risikan luar

Azmi
Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur sedang berusaha mengenal pasti kemungkinan wujudnya pembabitan agensi perisikan luar dalam kes penculikan warga Palestin di ibu negara, 28 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.

"Kita tidak dapat mengesahkan lagi adanya pembabitan agensi perisikan luar yang terbabit dalam kes penculikan ini.

"Jadi apabila timbul spekulasi tentang agensi yang dinyatakan (Mossad), ia mengganggu siasatan kami," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu di sini pada Rabu.

Azmi berkata, setakat ini, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan kebenaran laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai isu tersebut.

"Saya tidak boleh mengesahkan sama ada laporan itu benar atau tidak sebab siasatan masih berjalan," katanya.

Mengulas mengenai siasatan terhadap laporan itu, beliau mengesahkan bahawa polis sudah memanggil penulis laporan berkenaan bagi membantu siasatan.

Azmi berkata, pihaknya turut menyedari bahawa terdapat penularan berkaitan identiti saksi dalam kes penculikan warga Palestin itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan siasat semua perkara itu dan setakat ini pihak kami masih belum menerima sebarang laporan," katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani meminta orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat sehingga boleh menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Sebelum ini, seramai 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas antara 29 September sehingga 4 Oktober dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Melaka selepas terlibat dalam kes culik membabitkan seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pada 14 Oktober lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas dipercayai terbabit dalam kes penculikan berkenaan.

Motif penculikan terbabit dipercayai adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit yang dimiliki mangsa warga Palestin.