Meta semak kesahihan maklumat PRU melalui media sosial

Meta bekerjasama dengan lebih 90 organisasi penyemak fakta pihak ketiga bagi mengenal pasti maklumat tidak tepat yang ditularkan dalam rangkaian platform media sosialnya.
Meta bekerjasama dengan lebih 90 organisasi penyemak fakta pihak ketiga bagi mengenal pasti maklumat tidak tepat yang ditularkan dalam rangkaian platform media sosialnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Meta Platform Incorporated (Meta) bekerjasama dengan lebih 90 organisasi penyemak fakta pihak ketiga bagi mengenal pasti maklumat tidak tepat yang ditularkan dalam rangkaian platform media sosialnya.

Ketua Politik dan Kerajaan bagi Meta di rantau Asia, Roy Tan berkata, semakan fakta melibatkan lebih 60 bahasa itu akan menilai maklumat berkenaan pilihan raya umum yang dimuat naik di laman Facebook, Instagram dan WhatsApps.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut dilakukan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan di samping memerangi penyebaran maklumat tidak tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Malaysia.

“Penyemak fakta pihak ketiga akan mengenal pasti maklumat tidak benar menerusi penilaian tersendiri dan Meta seterusnya akan memaparkan potensi maklumat berkenaan kepada rakan kongsi lain menggunakan isyarat.

“Seterusnya mereka akan menyemak dan menilai kandungan tersebut sebelum memadam maklumat tidak tepat menggunakan label amaran,” katanya dalam sesi taklimat bersama wakil media pada Khamis.

Roy Tan
Roy Tan

Dalam pada itu Roy memaklumkan, Meta turut meningkatkan ketelusan bagi iklan politik di platform media sosialnya seperti mengesahkan identiti dan lokasi pihak yang membayar iklan selain mencipta perpustakaan iklan yang boleh diakses secara umum.

“Jika seseorang ingin menyiarkan iklan politik, mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dengan memberikan maklumat mengenai organisasi dan siapa yang membayar iklan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga ada perpustakaan iklan yang membolehkan wartawan, penyelidik atau orang awam melihat siapa di sebalik iklan ini di Facebook dan Instagram, (akses) perbelanjaan iklan dan demografi secara kasar yang disasarkan oleh iklan ini.

“Ketelusan iklan merupakan antara perkara penting dalam integriti selain memastikan pengiklan dan Meta sendiri sebagai sebuah syarikat yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu mengenai penyebaran maklumat PRU15 yang tidak benar di laman sosial Facebook, Roy memberi jaminan akaun terlibat akan dipadam ekoran mampu mempengaruhi keupayaan masyarakat untuk mengundi.

“Maklumat tidak benar mengenai tarikh, lokasi, masa, kaedah mengundi, pendaftaran pengundi atau kiraan undi (dipadam).

“Dakwaan-dakwaan palsu mengenai orang ramai akan dijangkiti Covid-19 sekiranya terlibat dengan pengundian dan sebagainya juga akan dipadam dari Facebook,” katanya.