Bagnaia impi bergelar juara di Sepang

Bagnaia (kiri) melayan peminat ketika sesi temu ramah bersama peminat Ducati di Petaling Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
Bagnaia (kiri) melayan peminat ketika sesi temu ramah bersama peminat Ducati di Petaling Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia enggan memandang mudah pesaingnya dalam misi memburu gelaran dunia pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu tekad memanfaatkan sebaiknya segala peluang bagi membolehkan impiannya bergelar juara dunia tercapai.

Bagaimanapun, dia mengakui bukan berdepan laluan mudah dengan pencabar utamanya dari Yamaha, Fabio Quartararo dijangka memberikan cabaran sengit.

“Jadi, adalah amat penting untuk terus memahami situasi semasa. Jika ada peluang (mengesahkan kejuaraan dunia), kami akan berusaha tetapi sejujurnya saya tiada tekanan,” katanya yang muncul naib juara dunia tahun lalu.

Bagnaia dan rakan sepasukan, Jack Miller mengadakan sesi bersama ratusan peminat dalam sesi 'Champions Ride, Meet & Greet' di Petaling Jaya pada Khamis.

Pada acara itu, Bagnaia serta Miller meluangkan masa untuk sesi soal jawab dan menurunkan tandatangan mereka kepada peminat yang hadir.

Berbaki dua saingan, Bagnaia atau lebih dikenali dengan jolokan 'Pecco' mendahului carta kedudukan pelumba MotoGP setelah mengumpul 233 mata, manakala Quartararo di tempat kedua dengan 219 mata.

Bagnaia berpeluang dinobatkan sebagai juara dunia buat kali pertama dalam kerjayanya jika dia berjaya memenangi perlumbaan pada Ahad ini dan Quartararo pula meraih penamat keempat atau lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kami boleh berbangga dengan apa yang telah dicapai ketika berbaki dua perlumbaan. Ia bukan mudah kerana Fabio sentiasa kompetitif,” katanya.

Juara dunia Moto2 pada 2018 itu berkata, selain jentera, faktor cuaca juga memainkan peranan penting pada perlumbaan Ahad ini.

“Cuaca di sini sangat panas dan kami sedang berusaha untuk menyesuaikan diri. Sudah pasti kami mengharapkan perlumbaan yang baik dan saya lebih suka berlumba di litar kering.

“Sepang adalah antara litar kegemaran saya. Banyak kenangan manis di sini. Sudah tentu situasi sekarang berbeza berbanding ketika saya berlumba di sini sebelum ini,” katanya.