Muay Thai: Rifdean lengkapkan hatrik gelaran dunia

Rifdean berjaya melengkapkan hatrik gelaran dunia selepas muncul juara Kejohanan Muay Thai Dunia buat kali ketiga semalam. - Foto Bernama
Rifdean berjaya melengkapkan hatrik gelaran dunia selepas muncul juara Kejohanan Muay Thai Dunia buat kali ketiga semalam. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET Muay Thai negara, Mohd Rifdean Masdor berjaya melengkapkan hatrik gelaran dunia selepas muncul juara Kejohanan Muay Thai Dunia buat kali ketiga semalam.

Walaupun terpaksa naik satu kategori berat kepada 51kg lelaki Bawah 23 tahun (B-23) kerana akan beraksi dalam sirkit produnia dalam kategori sama hujung bulan ini, atlet berusia 21 tahun itu tetap unggul pada kejohanan di Bangkok, Thailand.

Beliau berjaya mengatasi tentangan hebat wakil Uzbekistan, Daler Sobirov menerusi kemenangan 30-27 pada final.

Bagi kategori wanita pula, Nur Amisha Azrilrizal yang meraih gangsa edisi 2021 dan perak pada 2022, terus cemerlang apabila merangkul gelaran dunia pertamanya bagi kategori 51kg B-23.

Nur Amisha mencatatkan kemenangan 29-27 ke atas atlet berpengalaman dari Iran, Fatemeh Mamani untuk emas sulungnya itu, menurut kenyataan Persatuan Muaythai Malaysia.

Menurut persatuan, keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memasukkan acara Wai Kru dan Mai Muay Thai dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 juga mendapat pulangan, apabila tiga emas berjaya diperoleh menerusi disiplin berkenaan.

Secara keseluruhannya, Malaysia yang diwakili 10 atlet di Kejohanan Dunia yang berlangsung pada 3 hingga 13 Mei, membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan sebutir gangsa.

Keputusan tuan rumah Sukan SEA Kemboja 2023 untuk menukar nama sukan dan badan dunia daripada Muay kepada Kun Khmer, menyaksikan atlet negara tidak dapat menyertai edisi kali ini dan memilih untuk beraksi di Kejohanan Muay Thai Dunia yang dianjurkan pada minggu sama. - Bernama