Tun M, Hsien Loong sanjung kerjasama dalam siasatan 1MDB

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong menggalakkan pihak berkuasa dari Malaysia serta Singapura supaya mengekalkan hubungan kerja cemerlang mereka dalam siasatan membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini, kedua-dua pemimpin mengambil maklum kerjasama yang sedang terjalin antara agensi dan institusi kedua-dua negara, secara dua hala, serta dalam kerjasama dengan Amerika Syarikat dan Switzerland.

Ini termasuk menyiasat kesalahan, berkongsi maklumat tentang akaun bank, pemindahan dana, dan transaksi lain yang mempunyai kaitan dengan aliran dana 1MDB dan memperoleh semula aset, menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pemimpin mengambil maklum bahawa mahkamah Singapura telah memerintahkan supaya kira-kira S$15 juta (RM45 juta) dana berkaitan 1MDB dikembalikan kepada Malaysia, dan usaha untuk memperoleh aset selanjutnya masih berjalan.

Pihak berkuasa Singapura turut saling memberi bantuan perundangan dalam mendapatkan rekod yang dipegang oleh institusi kewangan dan mempermudahkan temu bual bersama saksi, sejajar dengan undang-undang Singapura, jelas kenyataan itu.

Pada 20 Mac, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam Laporan Penguatkuasaan pertamanya, mengesahkan bahawa kes 1MDB merupakan siasatan paling komprehensif oleh MAS setakat ini berkaitan pengubahan wang haram dan menangani pembiayaan keganasan.

Dalam laporan itu, 1MDB adalah satu daripada Kes Tumpuan berhubung pelanggaran kawalan berkaitan pengubahan wang haram oleh entiti dan individu.

Mengenai hubungan dua hala, kenyataan itu menyebut Perdana Menteri Lee mengundang Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, untuk menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan Ulang Tahun ke-200 Singapura pada 9 Ogos, dan Dr Mahathir menerima undangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Perdana Menteri Lee menantikan untuk meraikan Perdana Menteri Dr Mahathir bagi sambutan bersejarah yang penting ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan Lee juga berharap untuk mengadakan mesyuarat ke-8 Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura mengenai Pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa ke atas Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge untuk menyelesaikan masalah penentuan sempadan maritim dua hala yang lama tertangguh di kawasan berkenaan.

Para pemimpin itu juga menantikan penetapan lokasi sebenar titik batas sempadan antarabangsa mengikut ‘Perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura untuk Menetapkan Dengan Tepat Sempadan Perairan Wilayah Sejajar dengan Perjanjian Air Wilayah Johor dan Negeri-negeri Selat 1927’ yang ditandatangani pada 7 Ogos 1995, kata kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan bersama itu Malaysia dan Singapura mengulangi komitmen kedua-dua negara untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala sedia ada berkaitan alam sekitar, termasuk isu dengan implikasi rentas sempadan, terutamanya dalam bidang pemantauan kualiti marin dan udara selain pergerakan bahan buangan rentas sempadan.

Dr Mahathir dan Lee turut mengulangi bahawa hubungan sejarah dan kebudayaan antara kedua-dua negara merupakan asas bagi hubungan yang lebih akrab dan ia terus diperkukuhkan menerusi pertukaran kebudayaan.

Mereka menantikan pelancaran Persembahan Kebudayaan Malaysia Singapura, yang diadakan setiap tiga tahun, pada separuh kedua 2019 di Kuala Lumpur dengan tema 'Belia'.

Para pemimpin itu juga mengambil maklum pertukaran yang sedang berlaku antara Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam mesyuarat tahunan Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura dalam bidang penerangan serta komunikasi.

"Para pemimpin turut mengambil maklum kemajuan yang dicapai ke arah memuktamadkan Memorandum Persefahaman untuk Menggalakkan Kerjasama berkaitan Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital menjelang Oktober 2019," jelas kenyataan itu.

Dr Mahathir dan Lee turut menyambut baik kemajuan yang dicapai oleh EZ-Link Singapura dan Touch n Go Malaysia untuk melancarkan kad ‘Combi’ rentas sempadan yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya di kedua-dua negara.

"Apabila dilaksanakan secara rasmi kelak, kad Combi dua mata wang itu akan membolehkan pengguna membuat pembayaran bagi jalan bertol dan caj letak kenderaan di kedua-dua negara menggunakan kad yang sama,” kata mereka.

Kedua-dua pemimpin turut mengambil maklum perkongsian antara syarikat perkhidmatan kewangan NETS dari Singapura dan PayNet dari Malaysia untuk menerima kad NETS ATM yang dikeluarkan bank Singapura di Malaysia dan kad MyDebit ATM yang dikeluarkan bank Malaysia di Singapura.

Pada masa ini, menurut kenyataan itu, pengguna Singapura boleh menggunakan kad NETS ATM mereka untuk membuat pembayaran di lebih 3,500 pusat penerimaan di seluruh Malaysia, menandakan kali pertama kad NETS ATM boleh digunakan untuk membuat pembayaran di luar Singapura.

"Kad MyDebit akan diterima di Singapura mulai suku ketiga 2019 dan seterusnya," menurut kenyataan bersama itu.

Mengenai perkara serantau, Dr Mahathir dan Lee menyambut baik perkembangan Rangkaian Bandar Raya Pintar ASEAN, sebagai platform untuk menjayakan projek bandar raya pintar bagi mempertingkatkan kehidupan penduduk ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menegaskan semula kepentingan ASEAN dalam mengekalkan kestabilan serantau dan menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih rapat.

Kenyataan bersama itu menyebut kedua-dua pemimpin juga menegaskan semula komitmen mereka terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan ‘ASEAN 2025: Melangkah Maju Bersama’ serta ‘Wawasan Pemimpin ASEAN bagi ASEAN yang Berdaya Tahan dan Berinovasi’. - Bernama