Sanusi pertikai soalan Sidang DUN ditolak kerajaan

MUHAMMAD SANUSI
MUHAMMAD SANUSI
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kesal apabila soalan bertulis yang dikemukakan membabitkan gaji dan elaun pegawai lantikan politik, ditolak pada persidangan DUN Kedah, yang akan berlangsung pada 15 April ini.

ADUN Jeneri itu berkata, beliau menghantar soalan bertulis bertanyakan senarai nama, jawatan, gred perkhidmatan, gaji dan elaun pegawai lantikan politik di pejabat Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Urusetia Penerangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi baharu kerajaan, untuk dijawab oleh kerajaan.

Namun, katanya, beliau sebaliknya menerima surat memaklumkan penolakan menjawab soalan bertulis itu yang diterima Ahad lalu.

“Apa yang ingin disorokkan, ini menunjukkan kerajaan PH tidak telus seperti yang mereka laungkan. Rakyat berhak tahu berapa yang diperuntukkan untuk membayar gaji lantikan politik, dibimbangi gaji mereka lebih tinggi berbanding kakitangan kerajaan,” katanya, di sini, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah itu berkata, adalah lebih menjimatkan sekiranya menggunakan perkhidmatan kakitangan kerajaan bagi mengisi jawatan tersebut.

“Bagi saya, ia tak perlu dirahsiakan. Kerajaan negeri perlu jelaskan kepada rakyat apa jua berkaitan perbelanjaan negeri,” katanya.

Berdasarkan surat penolakan itu, soalan terbabit ditolak jawatankuasa susunan-susunan soalan Dewan, bawah Peraturan 23 (1) peraturan-peraturan mesyuarat DUN Kedah, yang antara lain menyatakan sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan dengan apa-apa perkara rahsia.

Muhammad Sanusi berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana bimbang berlaku lebihan pegawai lantikan politik memandangkan PH terdiri daripada empat parti politik, yang pastinya akan meletakkan wakil masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Kita tak mahu wujud lantikan atas ihsan sebab terpaksa melayan permintaan setiap parti bawah PH, biarlah jawatan yang diwujudkan benar-benar perlu. Ini kerana ia mempengaruhi perbelanjaan negeri dalam pembayaran gaji dan elaun,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu tegas dan mengehadkan lantikan mengikut keperluan.