TH terima sumbangan RM1.8 juta tampung operasi haji

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua Sahabat Korporat yang telah menaja barangan diperlukan jemaah haji. - Foto Bernama
Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua Sahabat Korporat yang telah menaja barangan diperlukan jemaah haji. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menerima sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada 12 syarikat korporat bagi menampung keperluan operasi musim haji yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan tersebut jelas menunjukkan keprihatinan dan komitmen korporat dalam membantu bakal haji negara walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak sukar ketika ini.

Menurutnya, sumbangan dan barangan yang diberikan amat membantu jemaah haji Malaysia ketika di Makkah, Arafah, Mina dan Madinah.

"Sumbangan yang disalurkan juga telah membentuk satu keseragaman identiti yang membezakan jemaah haji Malaysia dengan jemaah negara lain, yang kini telah menjadi ikutan negara-negara luar.

"Di samping itu, sumbangan ini bukan sahaja memberikan pulangan (ROI) berbentuk pendedahan jenama (brand exposure) kepada syarikat terlibat, tetapi yang lebih utama ialah pulangan jauh lebih baik di akhirat nanti, insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan kepada Sahabat Korporat TH Musim Haji 1443H di sini pada Rabu.

Majlis tersebut sebagai tanda penghargaan TH kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta serta rakan-rakan Sahabat Korporat yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi musim haji 1443H yang baru sahaja selesai.

Pada masa sama, Idris berharap keprihatinan badan korporat menjadi contoh untuk pihak lain bersama-sama turut serta menyumbang pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada semua Sahabat Korporat yang terus menaja barangan yang diperlukan oleh para jemaah haji Malaysia apabila tibanya musim haji.

"Semoga sumbangan ikhlas ini diberikan ganjaran terbaik oleh ALLAH SWT," katanya.