Bas kilang akan dihantar ke Puspakom

polis
polis
A
A
A
SHAH ALAM - Sebuah bas kilang yang terbabit dalam kemalangan di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, perkara ini akan dibuat secepat mungkin bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kita akan lihat sama ada bas terbabit mempunyai masalah teknikal seperti brek dan sebagainya.

"Setakat ini, bas itu telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk tindakan awal," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Neighbourhood Watch Programme (NWP) di sini, hari ini.

Program itu adalah bertujuan untuk membendung gejala jenayah khususnya di kawasan kilang.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk telah merekod keterangan lebih 12 individu (mangsa) yang terselamat dalam nahas itu.

"Proses merekod keterangan mangsa ini juga masih berjalan dan kita juga masih menunggu laporan sampel darah pemandu bas tersebut," katanya.

Menurutnya, setakat ini 11 mayat warga asing yang terlibat nahas masih belum dituntut oleh waris.

Setakat jam 5 petang, polis mengesahkan mangsa yang maut adalah seramai 12 orang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita.
Artikel Berkaitan:


Daripada jumlah itu, empat wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki rakyat tempatan yang juga pemandu bas terbabit.

Dalam nahas itu, sembilan orang termasuk pemandu bas kilang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 11.10 malam kelmarin, itu berlaku apabila bas berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter.