PRU15: Tak jadi calon, Hasan akur keputusan parti

Hasan
Hasan
A
A
A

TAMPIN - Penyandang Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom menerima dengan hati terbuka apabila tidak lagi dicalonkan bertanding di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, sebagai orang parti, beliau akur dengan apa saja keputusan pucuk pimpinan parti.

"Saya tiada masalah pun. Apa keputusan parti, saya sedia terima. Dicalonkan ok dan tidak dicalonkan pun saya tiada masalah.

"Tetapi sepanjang satu penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tampin, saya telah berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengenai kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil akan menggantikan tempatnya, Hasan berkata, dengan pengalaman dalam politik, beliau yakin Faiz mampu mempertahankan kerusi itu untuk Pakatan Harapan (PH).

Tidak timbul isu dia orang luar kerana paling penting bagaimana khidmatnya kepada rakyat. Menang atau kalah itu bergantung kepada kecenderungan pengundi dan bagaimana gerak kerja parti-parti dalam PH.

"Jika berlaku pergolakan parti dalam PH di Tampin, itu mungkin boleh jejaskan peluang kita untuk terus pertahan kerusi itu, tapi setakat ini Alhamdulillah.

"Apa-apa pun, siapa saja calon di Tampin, yang penting PH perlu menang kerana kita telah meneroka awal kemenangan di Tampin,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Hasan menewaskan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang ketika itu penyandang kerusi berkenaan untuk empat penggal dengan perbezaan 1,002 undi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Muhammad Faiz yang merupakan anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dikatakan kemungkinan akan bertanding di Parlimen Tampin.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mengesahkan nama ADUN Permatang Pasir itu telah dicadangkan sebagai calon dalam Mesyuarat Amanah Nasional pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya akan diumumkan pada majlis pengumuman rasmi yang akan diadakan beberapa hari sebelum penamaan calon.