Hibah TH akan lebih tinggi pada masa hadapan: Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr mujahid Yusof Rawa - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr mujahid Yusof Rawa - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yakin Lembaga Tabung Haji (TH) mampu memberikan agihan hibah pada kadar yang lebih tinggi pada masa hadapan, susulan pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan TH ketika ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama pendeposit supaya meletakkan keyakinan terhadap pengurusan TH.

"Saya minta orang ramai terus yakin dengan TH, terus kekal dengan TH... Kita ada pelan besar untuk TH.

"Sekarang ini baru fasa pertama pemulihan, kita sudah susun perjalanan pengurusan TH yang lebih baik dan kini pengurusan TH berada pada right direction (haluan yang betul)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program 'Bicara Eksekutif Maqasid Syariah’ di auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau akan membuat kenyataan rasmi berhubung kedudukan terkini TH pada sidang Parlimen esok.

"Saya sudah menghubungi Speaker (Dewan Rakyat) dan masukkan permintaan (untuk membuat kenyataan)," katanya.

Jumaat lepas, TH mengumumkan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2018 sebanyak 1.25 peratus, hibah terendah TH setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mujahid berkata dasar ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan PH tidak membawa maksud kerajaan akan berlembut dengan perbuatan mungkar atau bertentangan dengan ajaran Islam.

"Dasar ini tidak bermakna kerajaan mengiktiraf perbuatan mungkar oleh orang Islam atau bagi meringankan hukuman ke atas pelakuan yang tidak selari dengan tuntutan agama.

“Ada pihak yang melihat konsep Rahmatan Lil Alamin sebagai pendekatan berlembut atau kononnya kita mengiktiraf pihak yang cuba menjatuhkan imej Islam. Tuduhan ini tidak benar," katanya.- Bernama