Tiada gangguan bekalan minyak masak peket di Pulau Pinang

Bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa tiada di pasaran.
Bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa tiada di pasaran.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesahkan tiada gangguan bekalan minyak masak peket pada peringkat pengeluaran dan pengedaran di negeri ini.

Pengarahnya, S Jegan berkata, Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.434 juta kilogram (kg) minyak masak bersubsidi 1kg di Pulau Pinang setiap bulan.

"Daripada 3.4 juta kg itu, sebanyak 1.9 juta kg telah diedar ke pasar raya dan peruncit untuk kegunaan domestik di seluruh Pulau Pinang sehingga Selasa, manakala 1.5 juta kg lagi akan diedarkan sehingga akhir bulan ini.

"Pemeriksaan turut mendapati, tidak berlaku gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran apabila tiga daripada 24 syarikat pembungkus beroperasi di Georgetown menghasilkan kuota pengeluaran bulanan 247,000 kg bagi kegunaan pengguna domestik di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

"Syarikat pembungkus lain yang beroperasi di Seberang Perai turut mengedarkan minyak masak bersubsidi 1kg ke dua daerah yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subarrow mendakwa bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa berkurangan di kebanyakan kedai runcit di negeri ini, sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, perkara itu amat membimbangkan berikutan sambutan Deepavali bakal disambut pada 24 Oktober ini.

Dalam pada itu, Jegan berkata, pemeriksaan juga dijalankan ke atas beberapa premis runcit dan pasar raya di daerah Barat Daya dan seluruh Pulau Pinang dan mendapati tiada masalah bekalan minyak masak di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Dijangka permintaan ke atas minyak masak peket di pasaran akan meningkat untuk persediaan menjelang perayaan Deepavali pada hujung bulan ini.

"Saya ingin tegaskan bahawa minyak masak bersubsidi 1kg atau minyak masak peket ini adalah untuk kegunaan isi rumah dan bagi memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan kerajaan.

"Sehubungan itu, ia bukan untuk kegunaan mana-mana peniaga kerana golongan ini tidak termasuk dalam golongan sasar untuk mendapatkan bekalan minyak bersubsidi 1kg bagi kegunaan perniagaan," katanya.

Beliau menegaskan, KPDNHEP Pulau Pinang bersiap siaga dalam meningkatkan penguatkuasaan melalui pemeriksaan dan pemantauan kepada rantaian bekalan minyak masak subsidi 1kg.

"Kita akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.

"Selain itu, ia bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan ke atas subsidi yang diberikan dalam pengeluaran dan pengedaran minyak masak bersubsidi 1kg," katanya.