MPOC sokong penguatkuasaan isu label 'tanpa minyak sawit'

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyokong tindakan penguatkuasaan ke atas pasar raya serta premis yang menjual produk berlabel 'tanpa minyak sawit.'

Pelabelan atau penggunaan label yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit itu adalah dilarang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun.

Dalam kenyataan hari ini, MPOC berkata, label diskriminasi terhadap minyak sawit itu terdapat pada produk-produk makanan, penjagaan diri serta keperluan isi rumah.

Malah, produk yang memerlukan penggunaan lemak dan minyak, terutama minyak sayuran adalah produk paling banyak memaparkan label tersebut.

Pada 2021, MPOC telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit di pasaran Malaysia.

Sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang, didapati memaparkan produk berlabel 'Tanpa Minyak Sawit'.

Kebanyakan premis dengan produk sedemikian terletak di Petaling Jaya, Subang Jaya, Cyberjaya serta pusat bandar Kuala Lumpur.

Kaji selidik itu turut mendapati bahawa 37 jenama menyokong pergerakan antiminyak sawit dengan 204 variasi produk daripada 12 kategori makanan yang mempunyai label tersebut seperti aiskrim, snek dan bijirin.

Artikel Berkaitan:

Dapatan itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan syarikat menyedari taktik pemasaran antiminyak sawit tersebut, namun terus mengimport produk terbabit bagi memenuhi permintaan demografi tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Wan Aishah Wan Hamid menyifatkan inisiatif pendidikan penting bagi dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu pelabelan serta sentimen antiminyak sawit.

"Kita perlu memanfaatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek kelestarian dan mempromosi minyak sawit lestari yang bermula dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.

Beliau berkata, industri minyak sawit juga merupakan penyumbang besar terhadap ekonomi Malaysia dan sebarang tindakan menyebarkan tuduhan negatif ke atas komoditi tersebut boleh menjejaskan mata pencarian ramai yang berkaitan. - Bernama