Penduduk rimas pencemaran habuk arang batu

 Lip Chee (kanan) bersama dengan Ahli Majlis MPSP menunjukkan arang batu yang menjadi punca masalah pencemaran di kawasan Jalan Kampung Gajah.
Lip Chee (kanan) bersama dengan Ahli Majlis MPSP menunjukkan arang batu yang menjadi punca masalah pencemaran di kawasan Jalan Kampung Gajah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Penduduk di sekitar Jalan Kampung Gajah dan Taman Riang di sini terjejas selepas sebuah tapak lama yang dahulunya digunakan sebagai depoh bas dijadikan tempat penyimpanan timbunan arang batu.

Tapak berkenaan yang digunakan sejak dua minggu lalu menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan habuk berikutan ia terletak tidak jauh daripada kawasan laut.

Beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa bimbang bukan sahaja ia boleh menyebabkan kekotoran malah mengundang risiko kesihatan kepada orang ramai berikutan terdapat banyak kawasan perumahan dan sekolah di sekitar kawasan tapak itu.

Pemilik sebuah pusat jualan kereta, Lee Chun Keong berkata, sejak tapak berkenaan mula beroperasi, kereta pamerannya kotor dan berhabuk hitam malah lantai rumahnya juga sentiasa berdebu dengan pencemaran berkenaan.

"Sebelum ni tak ada masalah macam ni dan kami pada mulanya tak tahu ada tapak penyimpanan arang batu di sini.

"Bila tengok puluhan lori keluar masuk ke dalam tapak berkenaan baru kami sedar kawasan itu digunakan untuk simpan arang batu," katanya pada sidang media di sini.

Arang batu yang disimpan di tapak berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Arang batu yang disimpan di tapak berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Chun Keong berkata, masalah pencemaran berkenaan juga menyebabkan beberapa pekerjanya mengalami masalah gatal kulit selain ada penduduk yang mengadu pakaian yang dijemur di luar rumah bertukar menjadi hitam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masalah ini perlu ditangani segera kerana ia boleh menyebabkan kualiti hidup penduduk di sekitar terjejas.

Sementara itu, ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkata, pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang menerima aduan kes berkenaan telah melakukan tindakan pantas dengan mengeluarkan notis arahan berhenti kerja kepada pengusaha tapak berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati tapak berkenaan mula beroperasi sejak 28 Mac lalu dan tidak mempunyai seberang lesen atau kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Daripada maklumat yang diperolehi, batu arang ini diimport dari Rusia dan dibawa menggunakan kapal ke negara ini.

"Mereka membawa masuk ke tapak ini dan menimbun arang batu tanpa menutup bahan berkenaan sehingga ditiup angin dan menyebabkan pencemaran habuk di sekitar kawasan," katanya.

Beliau berkata, pemilik tapak berkenaan juga dikatakan memproses arang kayu di kawasan berkenaan dengan menggunakan beberapa jentera berat.

Lip Chee berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak mahu menjalankan perniagaan atau membuka kilang di sini namun ia haruslah melalui proses dan saluran yang betul.

Tambahnya, dalam kes ini, pemilik tapak berkenaan tidak memohon sebarang lesen dan tindakan tegas perlu dilakukan agar masalah yang berlaku tidak akan melarat dengan lebih teruk lagi.