Arab Saudi lancar Strategi Industri Nasional

Putera Mohammed bin Salman - Foto AFP
Putera Mohammed bin Salman - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Selasa melancarkan Strategi Industri Nasional yang bertujuan menjadikan negara itu sebagai kuasa perindustrian terkemuka.

Strategi itu meliputi 12 subsektor dengan lebih 800 peluang pelaburan bernilai 1 trilion riyal Saudi (AS$226 bilion), lapor Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Pelaburan itu dijangka menyumbang kepada pembangunan mampan bagi mencapai hasil ekonomi, termasuk menggandakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) perindustrian sebanyak tiga kali ganda dan meningkatkan eksport industri kepada 557 bilion riyal Saudi.

Putera Mahkota Mohammed turut mengetengahkan potensi kerajaan untuk mencapai ekonomi industri yang berdaya saing dan mampan termasuk membabitkan belia berbakat, lokasi, sumber asli dan syarikat perintis negara.

Kerajaan Arab Saudi akan menjadi kuasa perindustrian terkemuka melalui strategi dan perkongsian dengan sektor swasta.

Usaha untuk mempromosikan sektor itu termasuk pelancaran Program Pembangunan Industri Negara telah meningkatkan jumlah perindustrian daripada 7,206 kepada 10,640, lapor SPA.

Strategi itu dijangka meningkatkan bilangan perindustrian kepada 36,000 menjelang 2035. - Bernama

Artikel Berkaitan: