Perkara mati pun dijadikan mainan!

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

PAGI Selasa semua akhbar melaporkan Muhammad Adib Muhammad Kassim dimasukkan ke ICU kerana cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Menjelang waktu Zohor hari yang sama tular di media sosial bahawa anggota bomba berusia 24 tahun itu telah meninggal dunia.

“Baru terima berita anggota bomba mangsa serangan pengganas (disebut nama kaum) malam tadi telah menghembuskan nafas yang terakhir sebentar tadi.”

Demikian tampalan pada satu akaun Facebook, yang turut menampalkan gambar mangsa, juga Surah Al-Fatihah, serta doa “semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman...”

Bagaimana perasaan keluarga mangsa – terutama tunangnya – sekiranya membaca apa yang tular itu? Tentulah amat sedih, terharu dan sekali gus marah.

Hakikatnya ialah Adib masih bernafas, dan para doktor pakar di Pusat Perubatan Sime Darby sedang berusaha keras memberikan apa sahaja rawatan dan perubatan terbaik.

Orang yang masih hidup dihebohkan sebagai telah mati, dan beribu-ribu pelayar media sosial percaya bulat-bulat. Apa boleh buat, sesetengah warga siber kita memang tidak berhati perut – dan terlajak bodoh! – sehinggakan perkara mati pun dibuat mainan. Harap pihak berwajib mengambil tindakan tegas ke atas pemilik FB berkenaan.

Semakin jelas – dan amat dikesali – sesetengah pemilik FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya telah menjadikan media sosial tempat membuang sampah dan segala kekotoran.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang lagi akhir-akhir ini internet dijadikan media untuk menyebarkan sentimen perkauman dan keagamaan yang boleh membakar semangat untuk menggugat ketenteraman awam.

Isu-isu yang sepatutnya boleh diselesaikan secara baik, telah dihangatkan dan digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu, menerusi media sosial.

Ambil sahaja ICERD sebagai contoh. Ada pihak tertentu, termasuk parti-parti politik, menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk meraih sokongan.

Ucapan atau kenyataan pemimpin-pemimpin parti yang asalnya dibuat secara tertutup, akhirnya tular dan tersebar di media sosial.

Meski pun kerajaan telah menyatakan pendirian untuk tidak menerima konvensyen antarabangsa itu, masih ada pemimpin politik dan tokoh-tokoh NGO sengaja mengapi-apikan isu berkenaan.

Para pemimpin mengaitkan isu berkenaan dengan kedudukan raja-raja, agama Islam, hak istimewa Melayu dan sebagainya. Mereka berucap berapi-api, penuh dengan hasutan dan provokasi.

Dalam ucapan yang tular di media sosial ada yang dengan penuh semangat menyeru orang Melayu supaya bersatu demi menegakkan ketuanan bangsa.

“Kita kena bersatu, mem-pertahankan bumi Melayu. Bangunlah, dan berjuanglah hingga ke titisan darah terakhir!” Ada unsur perkauman yang jelas. Ada hasutan untuk berperang. Ini dilaungkan oleh pemimpin kanan sebuah parti politik.

Malah, ada klip video yang tular di media sosial, memuatkan ucapan bersemangat seorang pemimpin yang terang-terang mengungkit dan menyemarakkan isu perkauman.

Antara lain dia menyebut, dan diulang berkali-kali: “Kita patut bersedia untuk satu lagi (tragedi) 13 Mei...” Apa perlunya peristiwa silam yang sudah dilupakan itu diungkit-ungkit menerusi media sosial?

Bayangkan sekiranya klip-klip video hangat seperti ini dikongsi oleh beribu, mungkin berjuta warga siber, dan semuanya naik semangat, apa akan terjadi!

Pihak berkuasa, khasnya Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, patut bertindak tegas untuk menyekat penyebaran bahan-bahan berbau perkauman seperti ini.

Polis pula mesti mengesan dan menangkap mereka yang bertanggungjawab membuat ucapan dan kenyataan-kenyataan menghasut. Setakat ini polis memberitahu akan menyiasat seorang pemimpin politik yang ucapannya berunsur negatif dan menghasut berhubung isu ICERD.

Dalam hal kuil di USJ25, kita boleh lihat betapa warga siber meluahkan perasaan dengan menghentam pihak polis yang dikatakan lambat bertindak dan lembap. Tidakkah ini juga menghasut?

Padahal semua orang tahu bahawa pihak polis dan lain-lain agensi terlibat telah bersusah-payah – sesetengahnya menghadapi bahaya – untuk mengawal keadaan.

Penghasut dan penyebar fitnah di media sosial patut diajar!

Perkembangan terkini – sehingga semalam – Adib telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut. Sama-sama kita doakan semoga Adib segera sembuh, dan dapat menyambung khidmatnya untuk negara.

Sinar Harian telah melancarkan Tabung SAVING ADIBKASSIM untuk seluruh rakyat Malaysia – tanpa mengira kaum –memberikan bantuan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi No. Akaun Maybank 564276529068, SINAR KARANG-KRAF SDN BHD. #pray4AdibKassim.