Kontinjen MBSA juara SUPANUN 2022

Kontinjen MBSA tampil dengan persembahan luar biasa di SUPANUN 2022.
Kontinjen MBSA tampil dengan persembahan luar biasa di SUPANUN 2022.
A
A
A

KONTINJEN Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun Malaysia (SUPANUN) 2022 di Pantai Batu Lima, Port Dickson dengan meraih lima emas dan satu perak.

Kontinjen MBSA memenangi pingat emas dalam acara petanque lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan wanita dan sepak takraw senior manakala perak menerusi acara tarik tali lelaki.

Naib juara edisi keempat ini pula menjadi milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila meraih tiga emas, dua perak dan satu gangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula ketiga dengan satu emas dan dua gangsa.

Kontinjen DBKL meraih pingat emas dalam bola sepak pantai, sepak takraw veteran dan tarik tali lelaki manakala pingat perak menerusi bola jaring wanita dan bola tampar lelaki, sementara gangsa menerusi petanque wanita.

Kontinjen UiTM pula meraih satu emas menerusi bola jaring dan gangsa menerusi acara petanque beregu lelaki dan wanita.

Dalam acara bola sepak pantai menyaksikan keunggulan DBKL yang menewaskan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), 2-0 dalam perlawanan akhir.

Tempat ketiga menjadi milik bersama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Untuk rekod, edisi kali ini merupakan anjuran Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) dengan kerjasama, UiTM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merangkap Bendahari PBBM, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM), Mustaza Mohamad; Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed serta ketua-ketua jabatan agensi yang mengambil bahagian.