PN sedia bawa penyelesaian tuntas isu krisis ekonomi

Khairul Nadzir Helmi Azhar
Khairul Nadzir Helmi Azhar
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) sedia membawa penyelesaian tuntas terhadap isu krisis ekonomi yang menjadi tumpuan kepada setiap lapisan masyarakat.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, rantaian masalah ekonomi tersebut akan terus membebankan rakyat sekiranya tiada solusi tuntas daripada kerajaan.

Ujar beliau, solusi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini masih gagal mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.

“Antara solusi yang dilakukan adalah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali pertama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 22 Januari 2020 sebanyak 25 mata asas.

“Penurunan OPR adalah bertujuan untuk mengurangkan komitmen kewangan rakyat dan membantu rakyat berbelanja.

“Apabila rakyat mula berbelanja, permintaan menjadi tinggi. Namun bekalan sedia ada tidak dapat menampung permintaan daripada rakyat,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Khairul berkata, situasi tersebut akan menyebabkan berlakunya inflasi di mana ia berpunca daripada kenaikan mendadak harga komoditi, gangguan dalam rantaian bekalan di peringkat dunia dan permintaan tinggi.

“Tambahan, permintaan rakyat terhadap barang asas seperti minyak masak, ayam dan lain-lain tidak berkurang.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan yang tinggi melebihi penawaran menjadi faktor kenaikan inflasi. Beberapa keputusan baharu perlu diambil untuk memastikan proses memulihkan ekonomi berjalan dengan baik, namun rakyat terpaksa berhadapan dengan kesan jangka pendek ini sementara ekonomi benar-benar kembali stabil,” ujarnya.

Menurutnya, peningkatan inflasi akan memberi kesan ketara terhadap semua masyarakat.

Jelasnya, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaporkan kumpulan isi rumah berpendapatan B60 dijangka meningkat.

“Kebimbangan ini menjadi lebih menakutkan apabila ekonomi dijangka akan bertambah buruk pada tahun hadapan.

“Apa yang diperlukan oleh rakyat pada waktu kini adalah satu solusi ekonomi yang sejahtera. Rantaian masalah ekonomi ini akan terus membebankan rakyat sekiranya tiada penyelesaian tuntas daripada kerajaan,” jelas beliau.