Ismail, Muhyiddin, Anwar boleh teraju negara: Tun Musa Hitam

Tun Musa Hitam (dua dari kiri) bergambar bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) selepas program Program Bicara Tokoh di Desaru pada Selasa.
Tun Musa Hitam (dua dari kiri) bergambar bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) selepas program Program Bicara Tokoh di Desaru pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menamakan tiga pemimpin utama daripada UMNO, PKR dan Bersatu sebagai pemimpin yang berupaya menerajui negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, pandangan yang dibuat terhadap tiga pemimpin itu berdasarkan analisa mereka yang berkebolehan mentadbir negara dalam keadaan mencabar pada masa kini.

"Malaysia sangat-sangat memerlukan kepimpinan taraf dunia. Negara kekurangan pemimpin yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kini.

"Seperti hari ini, mana pemimpin yang dapat menanganinya dan menghadapinya, nampaknya memang kita alami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan 'top class'.

"Saya nak buat satu analisa. Pemimpin pilihan peribadi yang dilihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Tokoh pada Majlis Silaturrahim Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) di Desaru di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Tun Musa Hitam bergambar bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) selepas program Program Bicara Tokoh di Desaru pada Selasa.
Tun Musa Hitam bergambar bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) selepas program Program Bicara Tokoh di Desaru pada Selasa.

Hadir sama, Yang Dipertua Mubarak Johor, Datuk Abdullah Md Ali.

Dalam pada itu, Musa turut tertarik dengan ideologi Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan partinya.

Justeru, beliau menamakan Syed Saddiq sebagai pemimpin muda berkebolehan.

"Syed Saddiq ini ada idea bagus, saya sendiri berpeluang bercakap dengan dia, ini pandangan tanpa prejudis dan tidak berpihak.

"Saya lihat Syed Saddiq ada kerterujaan dan idealisme tersendiri. Memang orang luar akan kata macam-macam mengenai dia.

"Tetapi pada saya, Syed Saddiq mewakili golongan pemimpin masa depan, malah pengikutnya ramai. Mungkin untuk menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi Muda bukan satu masalah," katanya.

Mengulas lanjut, Musa mengingatkan isu-isu politik yang melanda UMNO perlu ditangani bagi memastikan keadaan politik negara terus stabil dan ekonomi tidak terjejas.

Antara isu yang dilihat sedang dihadapi termasuk krisis kepimpinan serta budaya baharu yang berasaskan materialisme tanpa memikirkan kepentingan masyarakat.

"Saya nak cakap juga terus terang, tiap-tiap kali saya hadapi kritikan (daripada orang luar), atas keadaan politik dalam negara, kalau orang dengar akan ketawa. (Macam) politik kartun, saya pernah menghadapi kritikan sedemikian," katanya.